Bursa Malaysia tawar insentif tunai memperkukuh dagangan ETF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia tawar insentif tunai memperkukuh dagangan ETF

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai - Bursa Malaysia Berhad telah melancarkan ETF Power Players Incentive Programme 2023 untuk mengukuhkan nilai dagangan, volum dagangan serta bilangan pelabur dan pedagang Dana Dagangan Saham (ETF).

 

Bursa Malaysia berkata program yang berlangsung dari 17 Julai hingga 29 Disember 2023 itu menawarkan insentif tunai menarik kepada pelabur dan peniaga yang terlibat secara aktif dalam perdagangan satu atau beberapa ETF tersenarai dalam tempoh ditetapkan.

 

Pengarah Pengasalan dan Penyenaraian Bursa Malaysia, Azhar Mohd Zabidi berkata program tersebut merupakan salah satu daripada pelbagai inisiatif yang telah bagi memupuk ekosistem ETF yang bertenaga.

 

 

Azhar Mohd Zabidi
Azhar Mohd Zabidi

 

 

“Kami percaya penambahan Power Players Incentive Programme akan terus memberi impak positif kepada dinamik pasaran kami, sambil mewujudkan lebih banyak peluang untuk pelabur dan pedagang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Program ini merangkumi dua kumpulan berbeza untuk membolehkan tahap penyertaan yang lebih luas.

 

Kumpulan A terdiri daripada pelabur runcit dengan akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) langsung atau penama, tidak termasuk akaun Perdagangan Budi Bicara (DT), serta Wakil Berdaftar (RR) atau pedagang yang mengendalikan akaun DT.

 

Sementara itu, Kumpulan B termasuk semua pedagang akaun pelaburan (IVT) dengan akaun CDS.

 

Menurut Bursa Malaysia, peserta yang layak daripada kedua-dua kumpulan berpeluang memperoleh insentif tunai bulanan berdasarkan jumlah nilai dagangan (TTV) mereka dalam ETF untuk setiap bulan dagangan.

 

Tambahnya, insentif tunai bulanan antara RM200 hingga RM1,500 untuk Kumpulan A, manakala bagi kumpulan B daripada RM600 hingga RM4,800, bergantung kepada kategori yang dicapai berdasarkan TTV.

 

Keperluan minimum TTV setiap bulan dagangan untuk Kumpulan A adalah RM20,000 manakala bagi Kumpulan B minimum RM250,000.

 

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang program, termasuk terma dan syarat penuh, di https://www.bursamarketplace.com/ETFpowerplayers/.  - DagangNews.com