Bursa Malaysia Derivatives lancar program perantisan perdagangan niaga hadapan pupuk generasi pelapis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia Derivatives lancar program perantisan perdagangan niaga hadapan pupuk generasi pelapis

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Sept - Bursa Malaysia Derivatives Berhad telah melancarkan program perantisan perdagangan niaga hadapan (FTAP) bagi memupuk dan melengkapkan pedagang bercita-cita tinggi dengan kemahiran asas yang diperlukan untuk berjaya sebagai pedagang derivatif sepenuh masa.

 

Disokong oleh dana pembangunan pasaran modal (CMDF), program latihan secara bersemuka selama 12 hari akan bermula dengan sesi bilik kelas dua hari yang tertumpu pada pemahaman konsep perdagangan derivatif.

 

Selepas itu, mereka akan meneruskan sesi pengalaman selama 10 hari di Arked Perdagangan Bursa yang terletak di premis Bursa Malaysia, di mana perantis boleh mengalami rutin harian pedagang dan memperhalusi kemahiran dagangan mereka pada platform simulasi.

 

Program berkenaan akan dibimbing oleh pedagang profesional berpengalaman dari Synergy Link Capital Sdn Bhd, iaitu peserta bersekutu berdaftar dengan Bursa Malaysia Derivatives.

 

 

yui

 

 

Pengarah Bursa Malaysia Derivatives, Mohd Saleem Kader Bakas berkata landskap kewangan dan penawaran produk yang terus berkembang mendorong syarikat agar terus komited untuk memupuk generasi baharu profesional perdagangan, sekali gus membangunkan ekosistem memudahkan penemuan harga berkesan dalam pasaran derivatif negara.

 

“Secara tradisinya, kekurangan kemahiran dan pengalaman diperlukan telah menjadi penghalang untuk memasuki dunia profesional perdagangan derivatif. FTAP membantu menghapuskan halangan ini dengan menyediakan latihan dan bimbingan, sambil membolehkan penyertaan yang lebih inklusif dalam kalangan pedagang bercita-cita tinggi.

 

“FTAP menekankan komitmen Bursa untuk mengembangkan ruang derivatif melalui pelbagai inisiatif, salah satunya adalah untuk mengembangkan kumpulan peniaga derivatif yang mahir”, tambahnya.

 

 

Mohd Saleem Kader Bakas
Mohd Saleem Kader Bakas

 

 

Program itu terbuka kepada rakyat Malaysia yang mempunyai diploma sebagai kelayakan pendidikan minimum dan pemohon akan menjalani proses pemilihan yang ketat, melibatkan tugasan dan penilaian sebelum pendaftaran.

 

Daripada setiap kohort pemohon, 30 individu dengan pengetahuan asas yang diperlukan dan ciri-ciri bersesuaian untuk perdagangan profesional akan dipilih menyertai program ini.

 

Setelah berjaya menyelesaikan FTAP, perantis diberikan pilihan untuk menjadi pedagang yang bekerja sendiri atau memohon untuk menyertai firma perdagangan.

 

Program ini menampilkan sembilan pengambilan yang akan berlangsung dari 2023 hingga 2026, di mana tempoh permohonan pengambilan pertama ditutup pada 6 Oktober 2023.

 

Mereka yang berminat boleh memohon melalui laman web rasmi FTAP: www.bursamarketplace.com/ftap.   - DagangNews.com