KUALA LUMPUR 12 Mei - Bursa Malaysia Bhd. dan CIMB Group Holdings Bhd. memeterai memorandum persefahaman untuk mempercepatkan penerapan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan syarikat tersenarai awam menerusi inisiatif #financing4ESG.
Melalui MoU ini, CIMB akan menjadi bank tempatan pertama yang bekerjasama dengan Bursa Malaysia dalam inisiatif tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, penyertaan CIMB membolehkan syarikat tersenarai di Malaysia menjadi peneraju serantau dalam ruang ESG memandangkan pematuhan dan pendedahan ESG telah menjadi permintaan global.
"Sebagai salah satu bank terbesar di Malaysia, CIMB berada dalam kedudukan yang mempunyai pengaruh untuk menggalakkan pelanggannya mengguna pakai amalan terbaik ESG," katanya dalam kenyataan hari ini.
Di bawah MoU itu, CIMB akan bekerjasama dengan Bursa Malaysia untuk menyediakan tawaran kewangan yang mampan untuk syarikat tersenarai di Malaysia sejajar dengan model penarafan indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM).
Kerjasama itu bertujuan membantu syarikat tersenarai meningkatkan prestasi kemampanan dan penarafan mereka untuk dimasukkan ke dalam indeks berkenaan.
Pada masa sama, ia menyokong peralihan mereka ke arah amalan perniagaan yang lebih mampan melalui pelbagai produk dan perkhidmatan hijau, sosial, impak mampan (GSSIPS) yang ditawarkan oleh kumpulan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, penyertaan kumpulan dalam inisiatif #financing4ESG oleh Bursa Malaysia adalah penting untuk menggalakkan penggunaan ESG dalam sektor korporat melalui kewangan yang mampan.
Katanya, ini akan membantu meningkatkan daya tahan jangka panjang dan daya saing perniagaan Malaysia, dan pada masa sama menyokong peralihan ke arah ekonomi sifar bersih.
"Kerjasama strategik ini selaras dengan agenda kemampanan CIMB di bawah pelan strategik Forward23+.
"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan Bursa Malaysia dan melibatkan syarikat tersenarai ke arah memajukan agenda kemampanan bersama kami, dan dengan berbuat demikian menyokong komitmen kerajaan untuk mencapai karbon neutral menjelang 2050," katanya. - DagangNews.com








