KUALA LUMPUR 12 Sept - Bumi Armada Bhd berkata syarikat bersekutunya, Armada 98/2 Pte Ltd (A98/2) telah mencapai penutupan kewangan di bawah kemudahan pembiayaan projek jangka panjangnya sebanyak AS$948 juta.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Bumi Armada menyatakan bahawa dana tersebut telah digunakan untuk membayar balik sepenuhnya kemudahan pinjaman jambatan sebanyak AS$930 juta.
Ini melibatkan pembinaan unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Armada Sterling V bagi projek pembangunan blok Dasar Pelesenan Penerokaan Baharu (NELP) KG-DWN 98/2 yang terletak di pantai timur Kakinada, luar pesisir India untuk Perbadanan Minyak dan Gas Asli India (ONGC).
A98/2, sebuah usaha sama dengan kumpulan Shapoorji Pallonji, memiliki unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Armada Sterling V dan menyediakan pajakan kapal kosong kepada anak syarikat, SP Bumi Armada Godavari Private Ltd (SPBAG).
“Setakat tarikh pengumuman ini, Armada Sterling V FPSO sedang menunggu hidrokarbon daripada ONGC untuk menjalankan ujian penerimaan yang diperlukan untuk mencapai penerimaan muktamad,” kata Bumi Armada.
Setakat pukul 3:57 petang ini, saham Bumi Armada didagang tidak berubah pada 51.5 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM3.05 bilion. - DagangNews.com








