Bosch lancar rangkaian peralatan penyediaan makanan baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bosch lancar rangkaian peralatan penyediaan makanan baharu

(Dari kiri) Gary Te bersama Kolaborator Bosch, Prof. Datuk Chef Zam, Keem Ooi dan Wilson Yap ketika pelancaran rangkaian peralatan penyediaan makanan dan meraikan pusat pengalaman Bosch baharu di Galeri Publika, Kuala Lumpur.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mei - BSH Home Appliances Sdn Bhd telah melancarkan rangkaian Peralatan Penyediaan Makanan Bosch secara rasmi di Pusat Pengalaman Bosch yang baharu diubah suai di Galeri Publika.

 

Jenama Jerman terkemuka tersebut mempamerkan rangkaian mesin dapur, pemproses makanan dan pengisar tangan yang dicipta untuk memenuhi keperluan gaya hidup penggemar makanan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif BSH Home Appliances Sdn Bhd, Gary Te berkata, Bosch telah membangunkan peralatan dapur dengan ciri reka bentuk cemerlang dan teknologi inovatif menjadikan memasak, membakar dan bereksperimen di dapur menyeronokkan dan memberikan hasil sempurna selama berdekad.

 

“Bosch mencipta teknologi yang ‘Dicipta untuk seumur hidup’. Kami memastikan produk, perkhidmatan dan pengeluaran kami menyumbang kepada pembangunan yang mampan.

 

"Bosch sentiasa mencari peluang untuk menambah baik produknya serta mengurangkan kesan buruk terhadap alam sekitar kita, selain meningkatkan kualiti hidup kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Te berkata, syarikat tersebut amat fokus terhadap rangkaian peralatan makanan baharunya yang akan menyumbang 10% kepada jumlah perolehan bagi tahun ini. 

 

Katanya, dengan penyambungan aktiviti-aktiviti ekonomik, beliau menjangkakanpertumbuhan positif industri isi rumah dan untuk mengukuhkan kedudukan Bosch dalam pasaran.

 

 

bosch

 

 

bosch

 

 

Pengarah Urusan Toong Heng Electronics Sdn Bhd, Wilson Yap pula berkata, mereka amat gembira dengan kerjasama berterusan dengan BSH kerana komited untuk menyediakan pengalaman terbaik dalam kualiti dan kebolehpercayaan Jerman kepada para pemilik rumah.

 

“Dengan pelancaran rangkaian terbaharu ini dan produk-produk baharu lain yang masih dalam perancangan, saya percaya bahawa Bosch berada di landasan yang betul untuk meluaskan kehadiran pasarannya, menawarkan peluang kepada para pengguna untuk menyelami penawaran berkualiti untuk rumah mereka,” katanya.

 

Tambahnya, pusat pengalaman yang baharu diubah suai itu telah dilengkapi dengan rupa yang dipertingkatkan dan diperbaharui untuk memberikan pengalaman pengguna yang lebih baik dan mengembangkan penawaran produknya. - DagangNews.com