BNM, SSM bentuk kerjasama strategik pengawalan pengubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM, SSM bentuk kerjasama strategik pengawalan pengubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan

(Dari kiri) Timbalan Gabenor BNM, Datuk Marzunisham Omar, Tan Sri Norshamsiah Yunus, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Khuzairi Yahaya ketika majlis menandatangani Terma Kerjasama antara BNM serta SSM pada 22 Ogos 2022.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini menandatangani Terma Kerjasama bagi mengukuhkan lagi kerjasama pengawalan dan penyeliaan berhubung dengan pengubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan (AML/CFT) dan Sekatan Kewangan Bersasar (TFS). 

 

Terma Kerjasama ini menggariskan tanggungjawab pengawalan dan penyeliaan BNM dan SSM berhubung dengan pengawalan dan penyeliaan ke atas setiausaha syarikat dan syarikat amanah. 

 

Terma ini juga akan membolehkan pendekatan yang lebih berstruktur diambil dalam usaha menilai risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (ML/TF) bagi kedua-dua sektor serta meningkatkan kapasiti keinstitusian dalam bidang-bidang ini.

 

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Yunus berkata, perjanjian yang dimeterai itu adalah hasil kerjasama yang teguh antara BNM dengan SSM selama bertahun-tahun. 

 

"BNM berbesar hati kerana dapat bekerjasama rapat dengan SSM untuk menjamin dan mengekalkan integriti sistem kewangan. 

 

"Kami yakin bahawa SSM dapat melaksanakan tanggungjawab yang lebih besar untuk menjalankan penyeliaan AML/CFT ke atas setiausaha syarikat dan syarikat amanah pada masa terdekat ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SSM,Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata, penting bagi setiausaha syarikat dan syarikat amanah untuk mengetahui dan memahami peranan serta dedahan risiko berkaitan dengan ML/TF terhadap fungsi mereka. 

 

"Pengetahuan dan pemahaman ini akan membentuk asas untuk mereka memahami dan memantapkan langkah pencegahan terhadap kegiatan jenayah ini. 

 

"Perjanjian yang ditandatangani pada hari ini merupakan satu langkah penting ke arah mencapai matlamat tersebut," katanya. - DagangNews.com