Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Dis. - Bank Negara Malaysia (BNM) melahirkan kebimbangan jika pengeluaran i-Sinar menerusi Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan disalah guna pencarum yang tidak berdepan tekanan kewangan untuk membuat pelaburan lebih berisiko.
Penolong Gabenor BNM, Fraziali Ismail berkata, ini kerana sejak akhir-akhir ini pihaknya melihat terlalu banyak maklumat tidak tepat berlegar-legar di media sosial disebarkan individu yang mengiktiraf diri mereka sebagai 'pakar kewangan'.
Katanya, individu ini tanpa rasa bertanggungjawab menasihati peminjam yang tiada masalah kewangan untuk mengambil moratorium atau menyalurkan lebihan penjimatan bayaran pinjaman yang telah ditambahbaik itu untuk membuat pelaburan berisiko tinggi semata-mata untuk mendapatkan keuntungan lebih dengan cepat.
"Apa yang mereka gagal jelaskan apabila membantu mengurangkan masalah aliran tunai bagi mereka yang terkesan, moratorium melibatkan kos pinjaman yang tinggi kepada pengguna.
"Mereka mungkin berdepan dengan pinjaman tertunggak sekiranya pelaburan jangka pendek ini menemui kegagalan.
"Dengan pengumuman pakej i-Sinar baru-baru ini, kami berpendapat, tindakan tidak beretika ini akan berulang lagi dan mendorong pencarum mengeluarkan Akaun 1 untuk membuat pelaburan semula yang lebih berisiko," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada Forum Etika dan Profesional 2020 - Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) semalam.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan pengeluaran Akaun 1 menerusi i-Sinar akan memberi manfaat kepada 8 juta pencarum terutama yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Fraziali berkata, pandemik COVID-19 secara dasarnya telah menjejaskan isi rumah dan perniagaan, justeru peranan yang dimainkan pengamal kewangan dapat membantu mereka berada dalam kedudukan yang betul ketika berdepan krisis ini.
Beliau berharap semua pengamal kewangan perlu berperanan sebagai penasihat yang bertanggungjawab bagi menangani penerbitan yang tidak bermoral ini dan untuk mengelakkan pelanggan membuat keputusan kewangan yang tidak rasional dengan kepentingan mereka.
Katanya, ini mungkin memerlukan pengguna mengambil langkah berjaga-jaga, bagi mengelakkan terperangkap dalam promosi pelaburan berisiko atau produk insurans yang menawarkan bayaran komisen tinggi.
"Walaupun ia mungkin menjejaskan pendapatan dalam jangka masa pendek, tetapi pendirian ini membolehkan penasihat kewangan mendapat kepercayaan, keyakinan dan kesetiaan pelanggan bagi tempoh jangka masa lama," katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan semua perkhidmatan kewangan mempunyai tahap integriti dan profesionalisme yang tinggi, BNM telah mengeluarkan standard tadbir urus korporat pada 2016.
Ini kemudiannya diikuti dengan terbitan Dokumen Dasar Mengenai Perlakuan Adil Terhadap Pengguna Kewangan pada November 2019. - DagangNews.com








