KUALA LUMPUR 15 Mac - Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Dunia menerbitkan laporan bagi menilai risiko kewangan berkaitan alam semula jadi untuk bank-bank di Malaysia.
Kajian awal yang dijalankan oleh BNM bersama Bank Dunia ini menggunakan data tempatan serta global untuk mengkaji hubungan antara sektor kewangan Malaysia dengan alam semula jadi.
Malah, kajian menerusi laporan bertajuk 'An Exploration of Nature-related Financial Risks in Malaysia' itu turut menilai potensi dedahan kepada risiko berkaitan alam semula jadi melalui aktiviti pembiayaan.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, ekosistem dan kesihatan planet penting bagi kestabilan ekonomi dan kewangan.
Katanya, secara dasarnya tanggungjawab menangani keutamaan ini terletak pada kerajaan, industri dan pihak berkuasa kewangan mempunyai kepentingan yang besar dalam meningkatkan pemahaman dan penghayatan.
"Namun, kita terhadap interaksi antara risiko berkaitan iklim dengan alam semula jadi kerana cara risiko ini berkembang mempengaruhi dan dipengaruhi oleh tindakan institusi kewangan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Laporan tersebut menjadi pencetus kepada kajian lanjut mengenai risiko berkaitan alam semula jadi serta menyerlahkan pentingnya usaha menangani kemusnahan alam semula jadi dan perubahan iklim secara koheren.
Ia juga mengiktiraf peluang untuk memanfaatkan kemajuan yang dicapai berhubung dengan inisiatif iklim untuk menangani risiko berkaitan alam semula jadi yang lebih luas.
Sehubungan itu, BNM akan terus berbincang dan berinteraksi dengan sektor kewangan dan pihak-pihak berkepentingan utama lain bagi membina keupayaan dalam bidang ini.

Sementara itu, Pengarah Negara Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Ndiame Diop berkata, dengan mengenal pasti dan mengukur risiko kewangan berkaitan alam semula jadi ini, pihak berkuasa akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mengutamakan inisiatif dalam skop mandat mereka bagi menguruskan kebimbangan ini.
“Kami gembira dapat bekerjasama dengan BNM bagi menyokong kepimpinan mereka dalam isu ini. Laporan ini adalah yang pertama seumpamanya diterbitkan oleh sebuah bank pusat di Asia.
"Kami berharap usaha ini akan menjadi contoh kepada negara lain yang menghadapi cabaran yang serupa," jelas beliau. - DagangNews.com








