KUALA LUMPUR 3 Nov - Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memutuskan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75%.
Dalam kenyataan, bank pusat berkata, ekonomi global terus berada pada landasan pemulihan, disokong oleh pengembangan aktiviti perkilangan dan perkhidmatan.
Inflasi juga telah meningkat dalam keadaan permintaan global yang terus kukuh, gangguan rantaian bekalan, harga komoditi yang lebih tinggi dan kekurangan tenaga kerja.
Bagaimanapun, katanya, prospek pertumbuhan global akan disokong oleh kemajuan selanjutnya liputan pemberian vaksin dan pelonggaran langkah-langkah pembendungan.
"Dalam beberapa ekonomi utama, dasar fiskal dan monetari yang besar akan terus menyokong momentum pemulihan.
"Secara keseluruhan, imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan global terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan.
"Hal ini disebabkan terutamanya ketidakpastian munculnya varian yang membimbangkan, risiko gangguan rantaian bekalan global yang berlanjutan dan potensi risiko ketidaktentuan pasaran kewangan yang ketara berikutan pelarasan dasar monetari ekonomi utama," katanya hari ini.
Mengulas mengenai situasi Malaysia, BNM berkata, kegiatan ekonomi menjadi lemah pada suku ketiga berikutan pelaksanaan langkah-langkah pembendungan di seluruh negara bagi mengekang penularan semula kes COVID-19.
Namun, katanya, selaras dengan pelonggaran sekatan, penunjuk berfrekuensi tinggi yang terkini menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi telah pulih daripada paras terendah pada bulan Julai.
Menjelang 2022, jelasnya, momentum pertumbuhan dijangka semakin baik, disokong oleh pengembangan permintaan global, perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi sejajar dengan penyambungan semula kegiatan ekonomi dan sokongan dasar yang berterusan.
"Bagaimanapun, prospek risiko terhadap pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan disebabkan oleh faktor luaran dan dalam negeri.
"Ini termasuklah pemulihan pertumbuhan global yang lebih rendah daripada jangkaan, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk dan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan akibat kesan varian baharu COVID-19 yang membimbangkan," katanya.
Sejajar dengan penilaian sebelum ini, purata inflasi keseluruhan dijangka berada dalam unjuran julat antara 2% hingga 3.0% pada 2021, setelah mencatatkan purata sebanyak 2.3% sejak awal tahun hingga kini. Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata bawah 1% pada 2021.
"Tetapi, inflasi keseluruhan menjelang 2022 diunjur kekal sederhana. Apabila kegiatan ekonomi kembali normal, inflasi teras dijangka meningkat sedikit namun masih rendah berikutan keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi dan dalam pasaran pekerja.
"Prospek bagaimanapun terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global dan beberapa risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan," jelasnya.
Dalam hal ini, menurut BNM, MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif dengan langkah-langkah fiskal dan monetari akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi.
Katanya, berikutan keadaan pandemik yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
"BNM akan terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan," katanya. - DagangNews.com








