Binance sertai ACSS bagi perkasa standard pematuhan industri kripto | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Binance sertai ACSS bagi perkasa standard pematuhan industri kripto

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Jan - Binance menyertai Persatuan Pakar Sekatan Bertauliah (ACSS), satu-satunya organisasi di dunia ini yang menyatukan profesional pematuhan sekatan. 

 

ACSS yang ditubuhkan pada 2018, menyediakan pendidikan dan manfaat berkualiti tinggi kepada ahlinya. Binance adalah bursa kripto pertama yang menyertai persatuan itu secara rasmi. 

 

Binance akan memanfaatkan bahan-bahan latihan, pangkalan data komprehensif, dan rangkaian luas dalam ACSS untuk memantapkan lagi kemahiran dan kepakaran pasukannya. 

 

Semua pematuhan profesional dalam pasukan sekatan serta pelaporan pengubahan wang haram, operasi pematuhan, dan petunjuk penyiasatan khas dalam Binance dikehendaki menjalani latihan dengan ACSS sebagai sebahagian daripada proses pentauliahan. 

 

Sesi latihan yang dimandatkan itu adalah penting bagi melengkapkan pasukan sekatan Binance dengan garis panduan OFAC yang terkini mengenai pembangunan program pematuhan sekatan. 

 

ACSS juga akan membantu memastikan pasukan itu mematuhi arahan sekatan dan memahami risiko pelanggaran merentasi pelbagai bidang kuasa. 

 

Ketua Sekatan Global Binance, Chagri Poyraz berkata, menerusi kerjasama rapat dengan ACSS, pihaknya akan membawa standard pematuhan sekatan ke suatu tahap yang diiktiraf oleh persatuan industri ternama dan menyediakan peluang untuk meningkatkan kemahiran kepada pasukan pematuhannya. 

 

"Akhirnya, kami mahu terus menetapkan standard keselamatan dan pematuhan bagi industri bersama-sama dengan pemain industri yang lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengarah Eksekutif ACSS, Saskia Rietbroek pula berkata, pihaknya akan memastikan bahawa latihan berkualiti tertinggi diberikan kepada pasukan Binance dalam sektor yang serba dinamik dan membantu meningkatkan lagi pematuhan dalam industri kripto.

 

"Pada 2022, pasukan pematuhan Binance telah berkembang daripada 500 kepada 750 orang. Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan organisasi itu ke arah memantapkan lagi keupayaan pematuhannya. 

 

"Bagi mencapai matlamat ini, Binance telah mendapatkan lesen kawal selia, pendaftaran, dan kelulusan di sejumlah 14 bidang kuasa setakat ini termasuk di Perancis, Sepanyol, Bahrain, Dubai, dan Australia," katanya. - DagangNews.com