BIMB Research positif terhadap kontrak baharu Infomina bernilai RM49.39 juta daripada KDN | DagangNews Skip to main content

BIMB Research positif terhadap kontrak baharu Infomina bernilai RM49.39 juta daripada KDN

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Nov - BIMB Research positif terhadap kontrak baharu Infomina Berhad yang bernilai kira-kira RM49.39 juta daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang meningkatkan buku pesanan sedia ada sebanyak 10.3% kepada RM529.49 juta daripada RM480.1 juta

 

Firma penyelidikan itu berkata kontrak tiga tahun tersebut membuktikan kepakaran Infomina dalam rangka utama dan transformasi teknologi maklumat (IT), menyerlahkan kerjasama rapat mereka dengan agensi kerajaan.

 

“Dalam sektor awam, Infomina memberi perkhidmatan terutamanya kepada agensi kerajaan Malaysia dan badan berkanun seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, menyumbang 30.2% daripada pendapatan pada tahun kewangan berakhir 31 Mei 2023  (FY23),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

BIMB Research mengekalkan unjuran pendapatan memandangkan perkembangan baharu ini adalah dalam andaian awalnya bagi buku pesanan.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) pada RM1.90 sesaham, diperoleh berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 22 kali (diskaun 15% kepada purata sektor lima tahun sebanyak 25.9 kali) dan pendapatan sesaham (EPS) 2024 sebanyak 8.6sen.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Infomina berkata ia telah memperoleh surat setuju terima (LOA) yang berkuat kuasa dari 1 November 2023 hingga 30 Oktober 2026.

 

 Di bawah kontrak berkenaan, kumpulan itu akan menyediakan penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan kepada sistem perniagaan teras JPN, yang dikenali sebagai Business Utama ICT.

 

Perkhidmatan Infomina itu merangkumi peningkatan, naik taraf dan pembangunan aplikasi baharu, yang meliputi kajian keperluan, aplikasi dan ujian sistem, sokongan teknikal dan pelancaran aplikasi berkaitan di seluruh negara.

 

“Syarikat Infomina juga akan menyelaraskan dengan JPN dalam pelancaran strategik keperluan fungsi baharu sistem teras pendaftaran negara JPN, memperluaskan faedahnya kepada cawangan-cawangan JPN di peringkat negeri,” katanya dalam makluman tersebut.  - DagangNews.com