Baucar Guardian ShopeePay dengan diskaun 40% boleh didapati mulai 1 Nov | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Baucar Guardian ShopeePay dengan diskaun 40% boleh didapati mulai 1 Nov

 

 


KUALA LUMPUR 3 Nov - Guardian Health and Beauty Sdn. Bhd. menyaksikan pembayaran e-dompet meningkat kira-kira 10% daripada jumlah transaksi di cawangan mereka, dan menjangkakan ia akan terus berkembang apabila rakyat Malaysia menerima pembayaran tanpa tunai di tengah-tengah norma baharu.

 

Syarikat rantaian runcit farmasi, kesihatan dan kecantikan terkemuka ini yang mempunyai lebih daripada 450 kedai di seluruh negara mula menerima pembayaran e-dompet sejak 2018 seiring dengan dorongan digital negara menerusi program seperti e-Belia dan e-Tunai sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk memacu penggunaan daripada e-dompet.

 

Ketua Pemasaran Guardian Malaysia dan Brunei, Angela To berkata, syarikat berada dalam kedudukan baik kerana sentiasa ke hadapan dari segi penggunaan digital melalui strategi e-dagang dan mula menerima pembayaran digital sebelum tercetusnya pandemik COVID-19

 

Kini, katanya, pihaknya telah meningkatkan usaha dengan lebih banyak kerjasama seperti menerusi ShopeePay.

 

"Dengan tambahan ShopeePay dan kempen Deals Near Me, ia adalah bertepatan dengan pembukaan semula ekonomi dan rakyat Malaysia kembali menjalani rutin harian dalam norma baharu. 

 

"Kempen dan ciri perkhidmatan berasaskan lokasi adalah unik kerana ia akan menjadi pendorong untuk membantu kedatangan pelanggan ke kedai," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Guardian mula menerima pembayaran melalui ShopeePay pada September 2021 dan turut menjalankan kempen menerusi Shopee Deals Near Me dengan ciri-ciri daripada dalam talian ke luar talian (O2O) yang menggunakan perkhidmatan berasaskan lokasi bagi membantu pengguna platform e-dagang menemui baucar ShopeePay untuk farmasi apabila mereka mengunjungi mana-mana cawangan Guardian.

 

Sempena pesta beli-belah Shopee 11.11 Big Sale di mana rakyat Malaysia boleh menikmati tawaran terhebat, baucar Guardian ShopeePay kembali atas permintaan ramai.

 

Baucar ini yang boleh dibeli pada nilai 1 sen menerusi kempen Shopee Deals Near Me, menawarkan pulangan tunai sebanyak 40% (terhad pada RM4) tanpa perbelanjaan minimum. 

 

Ini akan bermula pada 1 November. Pengguna hanya perlu menggunakan baucar apabila membuat pembayaran dengan ShopeePay di mana-mana cawangan Guardian untuk menerima pulangan tunai ke dompet ShopeePay mereka.

 

Sementara itu, Ketua ShopeePay Malaysia, Alain Yee berkata, terdapat lebih daripada 60,000 baucar Guardian ShopeePay dijual ketika kempen kali pertama bersama Guardian. 

 

Beliau menyifatkan, ia sesuatu yang sangat menggalakkan untuk ekonomi dan pada masa sama, diskaun akan membantu sebagai langkah sementara mengurangkan tekanan kos sara hidup bagi pengguna sambil memberi mereka akses yang lebih baik kepada keperluan harian.

 

"Sebagai tambahan kepada 40% pulangan tunai yang boleh diperoleh pengguna apabila mereka menebus baucar ShopeePay Guardian, kami juga mempunyai ganjaran harian untuk pengguna ShopeePay di mana mereka boleh memperoleh pulangan tunai sebanyak RM3 apabila mereka membelanjakan sekurang-kurangnya RM15 menggunakan dompet mudah alih ShopeePay mereka,” katanya. - DagangNews.com