Bank Rakyat bayar dividen 2023 15%, dividen khas ulang tahun 2% | DagangNews Skip to main content

Bank Rakyat bayar dividen 2023 15%, dividen khas ulang tahun 2%

Ewon (tengah), Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Datuk Dr.Mohammad Hanis Osman (kanan) pada sidang media pengumuman prestasi kewangan dan dividen bagi tahun kewangan 2023 hari ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 April - Kumpulan Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 15% dan dividen istimewa 2% bagi tahun kewangan 2023.

 

Pembayaran dividen kepada anggota akan dibuat bermula hari ini, 5 April 2024 manakala dividen istimewa akan dibayar pada September 2024.

 

Dividen istimewa itu bersempena dengan Ulang Tahun Bank Rakyat ke-70, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

 

Dalam sidang media beliau hari ini, Ewon berkata, Bank Rakyat masih mengekalkan prestasi kadar dividen sebanyak dua angka untuk tempoh melebihi 20 tahun.

 

Katanya, pembayaran dividen 15% bagi 2023 itu melibatkan anggaran jumlah sebanyak RM424.62 juta dengan anggota yang layak seramai 802,823 orang.

 

Dividen istimewa 2.0% dengan jumlah pembayaran sebanyak RM56.62 juta akan diagihkan berdasarkan pegangan saham yang layak

 

 

divi

 

ARTIKEL BERKAITAN: Bank Rakyat catat untung RM1.76 bilion bagi tahun kewangan 2023, meningkat 3.8%

 

"Pembayaran dividen 15 peratus ini akan dilakukan mulai hari ini, manakala bagi dividen istimewa pula pada September 2024 bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Bank Rakyat ke-70.

 

"Saya berharap dengan penerimaan dividen ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan yang dihadapi anggota, di samping membantu anggota dalam membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi," katanya di sini.

 

Sidang media itu berhubung pengumuman prestasi kewangan Kumpulan Bank Rakyat yang mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM1.76 bilion bagi tahun kewangan 2023, berbanding RM1.7 bilion tahun sebelumnya- DagangNews.com