Bank Negara diminta kaji model pembiayaan perumahan mudahkan B40, M40 miliki kediaman | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Negara diminta kaji model pembiayaan perumahan mudahkan B40, M40 miliki kediaman

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb - Kerajaan mahu Bank Negara melihat kembali model pembiayaan perumahan supaya memudahkan rakyat khususnya golongan B40 dan M40 memiliki kediaman.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, ini juga bagi memastikan institusi kewangan mempermudahkan pinjaman untuk mereka membeli rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah mampu milik. 

 

"Fokus diberi untuk pembelian terus dan rent to own (sewa untuk milik). Semua pihak perlu memainkan peranan supaya sasaran Satu Keluarga Satu Rumah dapat direalisasikan. 

 

"Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan Persekutuan akan memberi subsidi, kerajaan negeri menyediakan tanah manakala bank mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual dengan harga yang berpatutan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, MPMMN bersetuju menetapkan hala tuju baharu PPR yang mengambil kira keperluan semasa serta memasukkan komponen baharu ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni atau Liveable Malaysia

 

Menurut Ismail Sabri, pembinaan PPR baharu akan mengambil kira elemen seperti keterhubungan dan akses internet seperti fibre to the home (FTTH), jaringan hubungan pengangkutan awam serta reka bentuk yang lebih ekonomik dan lebih selesa.

 

"Pada masa sama kerajaan komited untuk menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda supaya mereka dapat memiliki kediaman sendiri. 

 

"Mesyuarat turut memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik di bandar kecil dan pinggir bandar untuk meningkatkan peluang golongan M40 membeli rumah," katanya.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara hari ini

 

 

Ismail Sabri berkata, MPMMN juga mendengar pembentangan oleh Khazanah Research Institute dan Bank Negara berkenaan data-data semasa serta isu-isu berbangkit dalam aspek perumahan rakyat serta akses kepada pembiayaan bagi perumahan mampu milik. 

 

"Maklumat-maklumat ini akan dijadikan asas kepada kerajaan untuk menambah baik strategi penyediaan perumahan mampu milik serta pengukuhan polisi-polisi berkaitan," katanya. - DagangNews.com