Bank Muamalat institusi kewangan pertama perkenal Visa B2B Connect di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Muamalat institusi kewangan pertama perkenal Visa B2B Connect di Malaysia

Ng Kong Boon (kanan) di majlis pelancaran Visa B2B Connect
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Sept - Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) memperkenalkan platform inovatif Visa Business to Business Connect (Visa B2B Connect), membolehkan bank itu menjadi saluran utama bagi pembayaran rentas sempadan korporat, dengan SWIFT menjadi alternatif kepada pelanggan.

 

Langkah Bank Muamalat menyepadukan Visa B2B Connect ke dalam platform perniagaan Bank Muamalat (iBiz) merupakan hasil kerjasama strategik bank itu dengan syarikat teknologi pembayaran global Visa, menjadikannya bank pertama di Malaysia untuk melaksanakan platform tersebut.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin menjelaskan bahawa dana boleh dipindahkan dengan pantas dan selamat, secara terus daripada bank pengeluar kepada bank penerima, pada kos yang lebih rendah.

 

“Proses ini mengurangkan kadar kelewatan dan kerumitan transaksi antarabangsa yang berkaitan. Pelanggan juga dapat membuat semakan status pembayaran hampir dalam masa nyata, meningkatkan ketelusan dan juga aliran transaksi,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

 

Sejajar dengan langkah ini, Bank Muamalat kini merupakan sebahagian daripada kumpulan institusi kewangan yang terkemuka di 109 negara seluruh dunia, dengan komitmen untuk menyokong usaha kerajaan merangsang pertumbuhan ekonomi, menggiatkan perdagangan antarabangsa dan menggalakkan keterangkuman kewangan di dalam negara.

 

Selain kelancaran pembayaran untuk perniagaan beroperasi di pasaran global, inisiatif tersebut menyokong mereka untuk memanfaatkan peluang antarabangsa dan memacu pertumbuhan mantap dengan memberi tumpuan strategik kepada negara-negara G7.

 

Pengurus Visa Negara Malaysia, Ng Kong Boon berkata seiring usaha berterusan perniagaan Malaysia mengembangkan sayap di peringkat global, rumusan inovatif mencetus transformasi dalam kaedah pembayaran B2B.

 

“Visa B2B Connect mengguna pakai pendekatan inovatif dan mengenepikan segala kerenah urus niaga rentas sempadan dengan menggunakan teknologi lejar tersebar bagi mempertingkatkan kepantasan, keselamatan dan kebolehpercayaan transaksi tersebut,” tambahnya.

 

Bank Muamalat dan Visa berkata mereka bukan sahaja komited untuk memacu inovasi dan kecemerlangan dalam industri kewangan tetapi juga bertekad untuk memperkasakan perniagaan bagi meluaskan operasi dan berkembang maju.

 

“Dengan memanfaatkan Visa B2B Connect, kami akan meningkatkan tahap kawalan kewangan dan kecekapan operasi pelanggan kami sambil menyumbang kepada pertumbuhan dan kesejahteraan keseluruhan perniagaan di Malaysia,” tambah Khairul.  - DagangNews.com