KUALA LUMPUR 12 Sept - Bank Islam Malaysia Bhd melancarkan Surau Abu Hurairah yang dibina semula di Zoo Negara bagi menyediakan kemudahan beribadat baharu yang lengkap, selesa serta mesra pengguna kepada para pengunjung.
Projek pembinaan surau ini telah disempurnakan dengan kerjasama Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Malaysian Zoological Society.
Pembinaan surau itu bermula pada 16 Januari dan siap dibina pada 16 Mac 2023. Ia dibuka kepada umum pada 29 Jun lalu bersempena cuti Hari Raya Aidiladha.
Nama Surau Abu Hurairah diinsipirasikan daripada nama sahabat Nabi Muhammad SAW yang terkenal dengan sifat ihsan terhadap haiwan dan boleh dijadikan inspirasi kepada masyarakat dan pengunjung zoo untuk mencontohi sifat terpuji beliau.
Pembinaan surau ini melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM180,000 yang meliputi kos pembinaan bernilai RM151,377.70, dan selebihnya untuk penambahbaikan fasiliti surau.
Dana tanggungjawab sosial korporat Bank Islam dan dari inisiatif kewangan sosial, Sadaqa House Bank Islam diguna pakai untuk menyempurnakan projek ini. Ia jelas mencerminkan impak positif instrumen kewangan Islam seperti sedekah, wakaf serta zakat khasnya dalam pemerkasaan komuniti dan penjagaan alam sekitar
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan kementerian, ATM dan Malaysian Zoological Society dalam menambah baik dan melengkapkan surau di Zoo Negara demi kemudahan pengunjung dan kakitangannya.

Katanya, usaha ini penting bagi Bank Islam kerana Zoo Negara merupakan sebuah destinasi pelancongan utama dan pusat pendidikan hidupan liar yang penting di Malaysia.
"Pada tahun lalu, ia menerima hampir 600,000 pengunjung dan ini jelas menunjukkan pentingnya penyediaan kemudahan yang selesa bagi pengunjung. Alhamdulillah, Surau Abu Hurairah kini lengkap dengan ciri-ciri mesra pengguna termasuk kemudahan untuk golongan warga emas dan kelainan upaya," katanya dalam kenyataan media di sini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) kementerian, Dr Mohd Bakhari Ismail pula berkata, pembinaan Surau Abu Hurairah melibatkan kecekapan 24 anggota Pasukan 91 Rejimen Bantuan Rejimen Askar Jurutera Diraja yang diketuai oleh Lt Kol Norhejeri Samsudin, Mejar Haziq Abdul Jalal dan Lt Al Ismail Ahmad.

Katanya, inisiatif prihatin #JiwaMurni merupakan tugas sekunder ATM dalam membantu masyarakat, khususnya yang melibatkan aspek kebajikan, kesejahteraan dan pendidikan.
"Kami amat berbesar hati atas usaha sama ini dengan Bank Islam dan Malaysian Zoological Society kerana ia menzahirkan keprihatinan warga kementerian dan ATM selain mendekatkan lagi kami dengan masyarakat," ujar beliau.
Dalam pada itu, Presiden Malaysian Zoological Society, Datuk Zaharin Md Arif yakin kemudahan surau yang telah dibina semula itu mampu memberi keselesaan kepada para pengunjung.
"Secara tidak langsung, ia akan menarik lebih ramai pengunjung ke Zoo Negara untuk merasai pengalaman dan mengetahui keunikan pelbagai hidupan liar di sini dengan lebih dekat. Malaysian Zoological Society berterima kasih atas sokongan dan usaha yang diberikan Bank Islam, kementerian dan ATM kepada kami," katanya. - DagangNews.com








