Bank Islam berdepan beban kos operasi, Kenanga Research turunkan penarafan kepada 'market perform' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Islam berdepan beban kos operasi, Kenanga Research turunkan penarafan kepada 'market perform'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Sept - Penarafan saham Bank Islam Malaysia Bhd. disemak turun kepada 'market perform' daripada 'outperform' selepas Kenanga Research mendapati untung bersihnya pada separuh pertama tidak memenuhi jangkaannya sebelum ini.

 

Menurut firma itu, untung bersih berjumlah RM223 juta bagi tempoh berakhir 30 Jun 2022 itu hanya merangkumi 43% unjurannya dan 34% konsensus daripada tahun kewangan penuh. 

 

"Ini terutamanya disebabkan kos operasi yang lebih luas daripada jangkaan berkemungkinan menyokong pertumbuhan pembiayaan baru-baru ini. 

 

"Pelaburan juga mungkin kekal tinggi dalam persediaan untuk memenuhi sasaran LEAP25, yang boleh mengheret prospek Bank Islam bagi tempoh jangka pendek," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Keuntungan bersih Bank Islam bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 susut kepada RM117.16 juta daripada RM194.33 juta berikutan pendapatan bersih rendah yang diburukkan oleh overhed dan elaun bersih tinggi bagi rosot nilai pembiayaan dan pendahuluan.

 

Pendapatan turun kepada RM823.02 juta berbanding RM834.34 juta sebelumnya manakala pendapatan asas sesaham (EPS) jatuh kepada 5.44 sen daripada 7.44 sen sebelumnya.

 

Bagi tempoh separuh pertama pula, keuntungan bersih susut kepada RM223.07 juta daripada RM353.04 juta manakala pendapatan turun sedikit kepada RM1.596 bilion berbanding RM1.605 bilion.

 

Baca : Keuntungan bersih suku-2 Bank Islam susut kepada RM117.16 juta

 

Susulan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi, Kenanga Research mengurangkan unjuran untung bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 8% dan 2%. 

 

Selain itu, firma tersebut turut mengurangkan sedikit anggaran pendapatan bukan faedah teras (NOII).

 

"Sejajar dengan semakan ini, kami menyemak turun harga sasaran Bank Islam kepada RM2.45 daripada RM2.90 sesaham. 

 

"Walaupun saham ini menawarkan peluang pelaburan dalam pembiaya patuh syariah, tetapi kami percaya ganjaran risiko pada tahap harga semasa adalah sepadan," katanya. 

 

Namun, firma itu berkata, Bank Islam melihat ia mampu mencapai sasaran FY22 dengan baik, membuat kemajuan ketara dalam portfolio pembiayaan rumah dan peribadinya daripada inisiatif yang dipacu komuniti.

 

Katanya, ia mungkin disebabkan oleh peningkatan usaha jualan yang boleh menjadi punca kos kakitangan lebih tinggi dilaporkan.

 

"Kumpulan juga melabur untuk mendigitalkan infrastrukturnya tetapi ini mungkin memerlukan skala ekonomi yang lebih luas untuk mengurus kos dengan lebih cekap, yang disasarkan kumpulan itu untuk dicapai dalam strategi LEAP25," jelasnya. -DagangNews.com