Banjir kilat di Janda Baik: PM umum bantuan kecemasan RM1,000 kepada setiap keluarga terlibat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Banjir kilat di Janda Baik: PM umum bantuan kecemasan RM1,000 kepada setiap keluarga terlibat

Gambar FB Ismail Sabri Yaakob
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Mei - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bantuan kecemasan sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga bagi meringankan beban akibat kerosakan peralatan rumah ekoran banjir kilat di Janda Baik, Bentong, Pahang, sejak semalam.

 

Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini turut meluahkan rasa simpati terhadap Keluarga Malaysia yang terlibat dalam insiden tanah runtuh disebabkan kejadian kepala air di kawasan tersebut.

 

"Bantuan itu akan disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali bersama-sama Setiausaha Politik saya semasa mereka melawat mangsa nanti.

 

"Saya kini berada di Amerika Syarikat untuk menghadiri tugas rasmi iaitu Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat di Washington D.C.

 

"Saya difahamkan kejadian berlaku akibat hujan lebat pada awal pagi tadi di kawasan hulu (kawasan Gunung Nuang) mengakibatkan fenomena kepala air. Penduduk terbabit dalam keadaan selamat dan ramai yang sudah pulang untuk mengemas rumah," katanya.

 

Ismail Sabri turut menasihati penduduk di sekitar kawasan itu sentiasa berhati-hati walaupun keadaan air sungai sudah kembali surut, namun masih agak deras dan keruh.

 

"Terima kasih kepada agensi penyelamat yang menghulur tenaga membantu mangsa," katanya. 

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Semalam, media melaporkan beberapa perkampungan di Janda Baik dilanda banjir kilat akibat hujan berterusan sejak malam kelmarin.

 

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 5.27 pagi dan usaha menyelamat serta memindahkan mereka yang terperangkap masih diteruskan sehingga kini. - DagangNews.com