Banjir Johor: GDRN sumbang lebih RM5.7 juta bantu mangsa terjejas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Banjir Johor: GDRN sumbang lebih RM5.7 juta bantu mangsa terjejas

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Mac - GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN) menyumbang lebih RM5.7 juta setakat ini dalam usaha agihan bantuan kemanusiaan untuk krisis banjir yang melanda beberapa daerah di Johor.

 

GDRN dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pihak berkuasa tempatan dan orang awam terus memainkan peranan aktif untuk tindak balas pantas dan yang terawal dalam krisis kemanusiaan di negara ini.

 

Katanya, jumlah terkumpul itu adalah sumbangan daripada ahli GDRN iaitu Bank Islam Malaysia Bhd, CelcomDigi Bhd, CIMB Foundation, Lembaga Tabung Haji, Maybank, Maybank Foundation, Permodalan Nasional Berhad, Petronas, Tenaga Nasional Berhad, Yayasan Hasanah, Yayasan Petronas, Yayasan Sime Darby, Yayasan TM, Yayasan UEM dan lain-lain.

 

"Dilaksanakan di bawah Jalinan Kemanusiaan, sumbangan yang diberikan itu adalah untuk membantu rakyat Johor yang terkesan akibat daripada krisis banjir tersebut. 

 

"Bantuan ini juga akan diagihkan kepada pusat pemindahan dan organisasi-organisasi yang bertugas di lapangan untuk membantu sepanjang tempoh pemulihan banjir," katanya.

 

GDRN berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas seruan tindakan terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk membantu mereka yang terjejas akibat banjir. 

 

"Kami bertekad untuk terus bekerja dengan pantas dan cepat bagi menyediakan sokongan yang diperlukan kepada mereka," katanya.

 

 

gdrn

 

 

Katanya, dengan kekuatan kolektif GLC dan GLIC ahli-ahli GDRN, mereka berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban keluarga dan rakyat yang terjejas.

 

Kerjasama erat bersama NADMA dan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bencana kemanusiaan yang lain, GDRN melalui gabungannya, telah mengaktifkan sokongan pemindahan dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi memastikan laluan selamat ke logistik alternatif. 

 

Selain itu, turut disumbangkan adalah mesin janakuasa elektrik, kit solat, kit kebersihan, bantuan makanan sedia dimakan, serta bantuan kewangan pasca banjir untuk menampung kos pembaikan elektrik dan bekalan isi rumah.

 

Sejak 2020 ketika penularan pandemik, GDRN melalui teras Jalinan Kemanusiaan telah menggerakkan sokongan seperti bantuan bencana dalam krisis banjir di negara, secara kumulatifnya menyumbang kira-kira RM342 juta dari 2020 hingga kini. - DagangNews.com