Banjir di Baling: Amanah Ikhtiar Malaysia tawar moratorium bersasar 6 bulan kepada Sahabat Usahawan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Banjir di Baling: Amanah Ikhtiar Malaysia tawar moratorium bersasar 6 bulan kepada Sahabat Usahawan

Shamir Aziz menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada Sahabat AIM yang terjejas dengan banjir di Baling, Kedah.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Julai - Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menawarkan moratorium bersasar selama 6 bulan kepada Sahabat AIM yang terjejas dengan banjir di Baling, Kedah.

 

AIM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, untuk moratorium bersasar itu, Sahabat AIM perlu membuat permohonan di cawangan masing-masing.

 

Menurut AIM, banjir yang melanda beberapa kawasan di sekitar Iboi, Jerai dan Kubang pada 4 Julai 2022 turut membabitkan seramai 115 Sahabat AIM.

 

"AIM pada Selasa menghantar pasukan sukarelawan seramai 50 orang dalam misi bantuan banjir di Baling.

 

"Pasukan sukarelawan yang diketuai Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz turut membawa dua lori muatan 1 tan barangan keperluan isi rumah yang keseluruhan bernilai RM50,000. 

 

"Barangan keperluan utama meliputi tong gas, dapur, cerek, telekung, sejadah, kain pelikat, kain batik, tuala wanita, barangan mandian, bantal, selimut, selipar, power bank dan lain-lain," katanya.

 

Menurut AIM, misi kali ini turut disertai dua jentera berat yang akan digunakan untuk kerja-kerja mengalihkan pokok tumbang, kenderaan tersadai dan membersihkan rumah kakitangan dan Sahabat AIMyang terkesan. - DagangNews.com