KUALA LUMPUR 6 Julai - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyarankan pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi, dari 7 Julai hingga 10 Julai 2022.
Sementara itu, bagi mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri-negeri lain dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya selepas jam 1 petang.
Bagi perjalanan pulang ke Lembah Klang dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri, pengguna lebuh raya pula dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi pada 10 Julai hingga 12 Julai 2022.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, PLUS mengumumkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) di Lebuhraya Utara-Selatan yang bertujuan untuk mengagihkan trafik pada musim perayaan Aidiladha ini bermula 7 Julai sehingga 12 Julai 2022.
“Kami menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan berada di lebuh raya setiap hari semasa musim cuti Aidiladha ini berbanding 1.8 juta kenderaan sehari pada hari biasa. Oleh itu, sila jangkakan kesesakan dan tempoh perjalanan yang lebih panjang pada hari-hari puncak tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zakaria, TTA dikeluarkan berdasarkan data trafik sebagai panduan serta membantu pengguna lebuh raya menikmati pengalaman perjalanan yang lebih terurus dalam tempoh perayaan akan datang.
Beliau berkata, ia bermatlamat untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan daripada memasuki lebuh raya secara serentak dan terkumpul serentak di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat, sekaligus mengurangkan kesesakan.

"Berdasarkan kajian kami bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang, pengguna lebuh raya dijangka mengalami tempoh perjalanan dua kali lebih panjang berbanding perjalanan biasa sekiranya mereka memilih untuk tidak mematuhi jadual TTA ini.
“Oleh itu, kami menasihatkan pengguna lebuh raya supaya mengikuti jadual TTA, merancang perjalanan lebih awal, serta membuat persiapan yang diperlukan untuk menghadapi perjalanan yang lebih panjang,” katanya.
Dalam pada itu, pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.
Aplikasi PLUS, yang boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store bagi peranti android atau App Store untuk pengguna iPhone, turut membolehkan pengguna merancang perjalanan mereka dengan melihat sendiri paparan kamera CCTV keadaan trafik di lokasi-lokasi kritikal di lebuh raya.
Ia turut menyediakan kalkulator tol untuk memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat bayaran tol untuk perjalanan mereka atau berinteraksi dengan PUTRI, chatbot pertama industri lebuh raya untuk mendapatkan pelbagai maklumat tentang PLUS.
Pengguna lebuh raya juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan mereka. Pastikan mempunyai baki yang mencukupi dalam kad Touch ‘n Go, atau e-Wallet untuk transaksi tol dengan pilihan pembayaran sama ada menggunakan kad Touch ‘n Go, SmartTAG atau RFID.
Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan agar memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan yang baik dan selamat untuk perjalanan yang jauh.
Sila patuhi had kelajuan di lebuh raya, elakkan memandu terlalu rapat dengan kenderaan lain, dan berehat sebentar untuk menyegarkan diri di kawasan rehat dan rawat (R&R) sepanjang lebuh raya. - DagangNews.com








