KUALA LUMPUR 15 Feb - RHB Investment Research melihat kemungkinan pembaharuan yang terhad terhadap dasar cukai negara dalam pembentangan semula Bajet 2023, pada 24 Februari ini.
Namun, penganalisisnya, Adam Mohamed Rahim berkata, rasionalisasi perbelanjaan pembangunan (DE) Malaysia kekal sebagai titik pertikaian.
Berdasarkan kepada laporan ekonomi Kementerian Kewangan, sebanyak RM136 bilion DE diperuntukkan bagi tempoh 2021 hingga 2022 - meninggalkan baki kira-kira RM264 bilion bagi 2023 hingga 2025.
Bajet yang dibentangkan sebelum ini menyaksikan peruntukan DE sebanyak RM95 bilion termasuk RM14 bilion yang diperuntukkan untuk menebus bon 1Malaysia Deevelopment Bhd. (1MDB), yang diterjemahkan kepada teras kira-kira RM81 bilion.
"Tetapi, kami tetap berwaspada terhadap angka DE, kerana kerajaan boleh menurunkan teras DE kepada kurang daripada RM81 bilion (2022: RM71.8 bilion) jika tiada kaedah kutipan hasil, contohnya cukai barang dan perkhidmatan (GST).
"Bagaimanapun, kerajaan masih boleh menaikkan peruntukkan DE ini pada 2024 hingga 2025 bagi memenuhi perancangan perbelanjaan peruntukan sebanyak RM400 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-12," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut Adam, sebagai alternatif, keperluan pembiayaan swasta untuk kontraktor boleh diubah lebih tinggi untuk mengurangkan perbelanjaan modal segera kepada kerajaan.
Tender pakej kerja awam bagi projek MRT3 memerlukan kontraktor membiayai sekurang-kurangnya 10% daripada nilai kerja untuk dua tahun pertama.
"Jika keperluan sedemikian kekal untuk projek pada masa akan datang, kontraktor dengan kunci kira-kira yang tipis pada mulanya boleh melihat ruang utama pembiayaan mereka tegang," jelasnya.
Beliau juga berpendapat, kajian terperinci MRT Corp mengenai penjajaran landasan projek MRT3 kemungkinan akan menjejaskan kerja awam yang dirancang untuk kontraktor bernilai RM34 bilion.
"Dengan mengandaikan kajian terperinci MRT3 dijalankan sekarang dan berakhir sekitar akhir Mac, diikuti pemeriksaan awam selama tiga bulan dan garis masa kelulusan yang sama untuk MRT2, justeru, kami berpendapat anugerah kontrak MRT3 mungkin sekitar September," tambahnya.
Secara keseluruhan, RHB Investment mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor pembinaan terutama menjelang pembentangan Bajet 2023 dengan hanya RM2.1 bilion kontrak dianugerahkan pada bulan lalu.
Firma itu menamakan Sunway Construction Group Bhd. dan Kerjaya Prospek Group Bhd. sebagai pilihan utama dalam sektor itu disebabkan usaha kepelbagaian mereka dalam kontrak berkaitan industri berbanding kerja infrastruktur dan bangunan kediaman. - DagangNews.com








