PUTRAJAYA 1 Sept - Kementerian Kewangan (MOF) mempelawa pihak berkepentingan untuk berkongsi maklum balas dalam Kertas Konsultasi Awam (KKA) untuk Bajet 2023.
MOF dalam satu kenyataan berkata, kementerian itu telah menerbitkan sebuah KKA bertajuk “Dasar Penggunaan Barangan, Perkhidmatan dan Teknologi Hasil Penyelidikan Dan Pembangunan (R&D) Tempatan Dalam Perolehan Kerajaan”.
Menurutnya, antara objektif KKA tersebut adalah untuk melindungi dan membangunkan industri tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada barangan import, mewujudkan peluang perniagaan, meningkatkan daya saing dan daya tahan.
Katanya, ia juga bertujuan membangunkan keupayaan syarikat teknologi tempatan di samping menyokong ekosistem pemindahan teknologi, pengkomersialan serta pemasaran hasil R&D tempatan.
"Semua pihak dijemput untuk memberi maklumbalas kepada KKA tersebut melalui pautan https://budget.mof.gov.my/bajet2023/kertaskonsultasi/.
"Penerbitan KKA merupakan sebahagian daripada usaha keseluruhan MOF untuk menjadikan proses penyediaan bajet tahunan lebih telus dan penglibatan semua pihak secara menyeluruh," katanya.
MOF berkata, kerajaan yakin penerbitan KKA akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masing-masing bagi membolehkan kerajaan merangka sebuah bajet tahunan yang memenuhi keperluan rakyat, serta selaras dengan dasar pembangunan sosioekonomi negara.
"MOF mengalu-alukan maklum balas bagi KKA ini sebelum atau pada 15 September 2022," katanya. - DagangNews.com








