Oleh Munirah Mohamed, Nurul Azrin Ariffin dan Nurhaslinda Hashim
MALAYSIA dijangka bakal menjadi negara menua menjelang tahun 2030 dimana peratusan warga emas meningkat kepada 15.3% berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM).
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mentakrifkan warga emas adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Golongan ini merupakan komuniti tumpuan yang memerlukan penjagaan dan perlindungan khusus dan tidak boleh dipandang sepi.
Melalui pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, beliau menyatakan kerajaan akan menyediakan sokongan penuh kepada pembangunan komuniti tumpuan terutamanya kepada warga emas.
Peruntukan keseluruhan sebanyak RM635 juta kepada warga emas merangkumi bantuan sosioekonomi, geran operasi NGO, pengukuhan Pusat Aktiviti Warga Emas dan Unit Penyayang Warga Emas.
Bajet yang telah diperuntukkan untuk warga emas dilihat dapat meningkatkan tahap kualiti kesihatan mereka.
Penjagaan kesihatan warga emas bermula dari diri sendiri melalui amalan gaya hidup sihat dan peka dengan keadaan tubuh badan.
Warga emas disarankan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan berkala bagi mengesan sebarang penyakit.
Ahli keluarga juga memainkan peranan penting dalam memastikan tahap kesihatan golongan ini stabil dengan memberikan sokongan menyeluruh kepada warga emas.
Golongan ini merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk terdedah kepada pelbagai penyakit terutamanya jangkitan COVID-19.
Baru-baru ini kerajaan telah mengutamakan dos penggalak untuk memastikan warga emas mendapatkan perlindungan yang optimum.
Kerajaan juga telah menunjukkan komitmen tinggi terhadap warga emas melalui Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN).
Selain itu, peningkatan umur dan keupayaan yang terbatas menganggu aspek keselamatan warga emas. Ada dalam kalangan warga emas yang tinggal sendirian ditambah dengan masalah kekurangan keperluan asas. Ini akan menganggu mereka dalam menjalani kehidupan seharian.
Justeru, ketidakupayaan warga emas ini menyumbang kepada penurunan tahap keselamatan dan mereka cenderung terdedah kepada sasaran jenayah.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menyatakan warga emas sering menjadi sasaran jenayah seperti jenayah siber terutamanya semasa pandemik.
Golongan ini mudah terdedah kerana tiada sokongan ahli keluarga yang boleh dirujuk serta tidak mahir dalam penggunaan teknologi.
Selaras dengan itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye dalam temubual dengan Astro Awani telah mencadangkan kepada kerajaan untuk melaksanakan dasar literasi digital di kalangan warga emas.
Malahan, sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2021 yang bertemakan Kesaksamaan Digital Merentasi Usia juga dilihat menyokong peningkatan penguasaan digital dikalangan warga emas.
Seterusnya, melalui pembentangan bajet 2022, peruntukan kepada warga emas juga menekankan aspek kepentingan kelangsungan dan kesejahteraan mereka.
Golongan ini perlu dilindungi dari menghadapi tekanan mental seperti kemurungan.
Semua pihak perlu memainkan peranan untuk mencegah risiko kemurungan dalam kalangan golongan ini.
Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat perlu berganding bahu dalam meningkatkan kesedaran komuniti seterusnya merancang aktiviti rekreasi dan sosial yang bersesuaian untuk warga emas.
Warga emas baik dari golongan profesional ataupun tidak, boleh menyumbang kepada masyarakat sekeliling melalui kemahiran dan pengalaman mereka.
Ada di antara mereka bergiat aktif menjadi sukarelawan dalam program-program komuniti.
Kerajaan juga telah menyediakan pelbagai saluran untuk memastikan golongan ini kekal aktif di dalam komuniti. Antara saluran yang diwujudkan ialah melalui Program Khidmat Bantu Di Rumah, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Kelab Warga Emas.
Secara keseluruhan, peruntukan kepada komuniti tumpuan iaitu warga emas dalam bajet 2022 amat bertepatan agar dapat mencapai agenda Nasional Malaysia Sihat. – DagangNews.com
Munirah Mohamed, Nurul Azrin Ariffin dan Nurhaslinda Hashim adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Melaka