KUALA LUMPUR 28 Ogos - AGAPE ATP Corporation(ATPC) melalui anak syarikatnya, ATPC Green Energy Sdn Bhd bekerjasama dengan Phoenix Green Energy Sdn. Bhd. (PGE) bagi mempercepatkan pembangunan dan pengkomersialan rumusan tenaga solar di Malaysia.
Kerjasama itu bertujuan untuk menyokong pelbagai aplikasi, terutamanya dalam pengeluaran tenaga elektrik, yang menyumbang kepada peralihan Malaysia kepada tenaga mampan.
Perkongsian tersebut itu menggariskan pelan komprehensif membangunkan dan mengkomersialkan portfolio produk solar yang disasarkan, termasuk panel solar filem nipis amorfus dan teknologi berkaitan.
Melalui perkongsian ini, ATPC Green Energy dan PGE akan menggabungkan kepakaran dalam membangunkan produk solar berkecekapan tinggi memenuhi permintaan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia dan rantau ASEAN.
"Kerjasama itu akan memanfaatkan perundingan teknikal PGE dalam sistem tenaga solar dan pengalaman ATPC Green Energy menyampaikan penyelesaian penjimatan tenaga yang komprehensif.
"Sinergi ini dijangka mempercepatkan penggunaan tenaga suria, mengurangkan jejak karbon, dan menyumbang dengan ketara kepada landskap tenaga boleh diperbaharui Malaysia," ujar ATPC.
Di samping itu, ATPC berkata, perkongsian tersebut sejajar dengan strategi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat, termasuk memacu amalan mampan merentas operasinya, menyokong Matlamat Pembangunan Lestari PBB dan menyampaikan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Global ATPC, Prof Datuk Seri Dr How Kok Choong berkata, perkongsian itu menawarkan penyelesaian inovatif yang sejajar dengan matlamat kemampanan global dan memacu pertumbuhan jangka panjang syarikat.
Naib Presiden Phoenix Green Energy, Heng Huachuin berkata kerjasama itu merupakan peluang untuk berinovasi dalam ruang tenaga suria.
"Kami bersedia untuk menyampaikan penyelesaian yang bukan sahaja memenuhi keperluan tenaga pelanggan kami tetapi juga menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar," ulas beliau.- DagangNews.com







