ATM dikerah bantu KPDNHEP, PDRM tangani isu penyelewengan minyak masak bersubsidi - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ATM dikerah bantu KPDNHEP, PDRM tangani isu penyelewengan minyak masak bersubsidi - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 4 Julai - Kerajaan telah mengerahkan pihak penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menggempur dari peringkat kilang-kilang pembungkusan minyak paket sehingga ke sempadan negara untuk memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, tindakan tegas juga akan dilaksanakan dengan membatalkan kuota dan lesen yang telah diberikan kepada pengilang dan pembungkus dalam usaha menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi.

 

Beliau berkata, langkah ini demi memastikan peruntukan subsidi minyak masak sebanyak RM4 bilion yang disalurkan pada tahun ini untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia tidak tiris dalam setiap peringkat rantaian serta sampai kepada pengguna.

 

Jelasnya, Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) telah membuat keputusan akan melaksanakan operasi pengauditan dan pemutihan secara komprehensif, meliputi 22 pengeluar dan 305 premis pembungkusan semula minyak masak paket yang beroperasi di seluruh negara.

 

"Operasi ini bertujuan mendapatkan status sebenar mengenai jumlah minyak masak paket yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluaran dan pembungkusan serta maklumat lengkap penerima minyak masak bersubsidi itu.

 

"Perangkaan semasa menunjukkan edaran minyak masak paket bersubsidi di dalam negara berjumlah 60,000 metrik tan sebulan adalah melebihi daripada penggunaan isi rumah dalam negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat NACCOL yang dihadiri beberapa Menteri Kabinet serta wakil dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA).

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Dalam mesyuarat itu, sebanyak lima kertas dibentangkan daripada tiga kementerian iaitu dari KPDNHEP, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta DOSM.

 

Menurut Ismail Sabri, mesyuarat juga bersetuju sekuriti makanan dijadikan keutamaan dalam konteks Keselamatan Dalam Negeri bagi mengatasi masalah itu yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup Keluarga Malaysia. - DagangNews.com