KUALA LUMPUR 27 April - Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) memenangi anugerah penyiaran analitik dalam kategori Keupayaan Analitik untuk Memperibadikan Pengiklanan & Kandungan Digital di Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2022.
Dalam usahanya untuk meningkatkan pengalaman pengguna, Astro berusaha untuk memahami serta mengenal pasti keutamaan pelanggan yang memanfaatkan teknologi dan data pihak pertamanya untuk mewujudkan konteks lebih relevan untuk pengiklan dan kandungan diperibadikan untuk pelanggan di seluruh platform TV, radio dan digital Astro.
Pengarah Data Astro, Jaideep Matto berkata, mereka berbesar hati menerima anugerah tersebut kerana ia berfungsi sebagai testimoni kepada aspirasi kami dalam melayani pelanggan dengan memanfaatkan cerapan data.
"Kami akan terus memanfaatkan data pihak pertama daripada berbilang titik sentuh merentas TV, radio, perkhidmatan penstriman, jenama digital dan perdagangan kami untuk menawarkan pengalaman pengguna yang lebih baik dan kandungan yang diperibadikan kepada pelanggan kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada tahun keempatnya, Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia mengiktiraf syarikat luar biasa yang mengharungi gelombang gangguan dan menerajui revolusi teknologi dan perjalanan digital industri masing-masing. - DagangNews.com








