KUALA LUMPUR 19 Okt - RHB Investment Bank mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap segmen Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) sejajar dengan masalah tidak terjual dan makroekonomi jangka pendek yang mungkin mengurangkan pemulihan bagi kadar pengembalian sewa dan penghunian.
Penganalisisnya, Loong Kok Wen berkata, walaupun segmen runcit telah pulih dengan pantas tahun ini didorong pembukaan semula ekonomi, tetapi pengembalian sewa boleh berkurangan pada 2023 disebabkan persekitaran operasi yang sukar.
Katanya, segmen pejabat juga menyaksikan kadar penghunian lebih rendah, dengan perubahan corak kerja memburukkan lagi ketidakseimbangan bekalan-permintaan.
"Bagaimanapun, kami masih menyukai kualiti daya tahan yang dimiliki Malaysia-REIT (M-REIT), kerana pendapatan sewa menyediakan aliran hasil yang boleh dipercayai pada ketika ketidaktentuan dalam pasaran, dan sebaran hasil kembali normal menjadikan M-REIT menarik.
"Oleh itu, kami mengesyorkan penekanan pada REIT dengan kualiti aset yang kukuh dalam setiap segmen yang mampu menahan tekanan menurun," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pilihan utama firma itu bagi sektor REIT ialah Axis REIT dan IGB REIT dengan masing-masing diberi saranan 'beli' pada harga sasaran RM2.19 dan RM1.85 sesaham.
Axis REIT merupakan pemain utama dalam segmen perindustrian yang meraih manfaat daripaa perkembangan e-dagang manakala IGB REIT pula mempunyai kadar penghunian hampir penuh bagi asetnya dan profil pembeli domestik yang sepatutnya memastikan kehadiran pengunjung yang tinggi.
Kok Wen berkata, segmen perindustrian akan menyaksikan permintaan yang kukuh, dengan meraih manfaat daripada perkembangan e-dagang dan pengembangan dalam sektor pembuatan.
Katanya, kajian dijalankan Knight Frank Research mendapati segmen tersebut mengalami kurang bekalan aset berkualiti tidak seperti segmen pejabat dan runcit, sekali gus mendorong kepada harga sewa yang lebih kukuh.
"Pemangkin penting bagi segmen itu ialah gangguan rantaian bekalan global, yang telah mendorong syarikat antarabangsa untuk mewujudkan kemudahan baharu di ASEAN.
"Malah, Malaysia juga dijangka mendapat manfaat daripada kepelbagaian dan pembentukan semula rantaian bekalan global ini," jelasnya.
Menurut beliau, adalah penting bagi REIT untuk membangunkan semula aset sedia ada berbanding memperoleh aset perindustrian baharu.
Langkah ini, katanya, membolehkan REIT kekal relevan dengan permintaan baharu, seperti pembangunan semula Axis REIT bagi Pusat Pengedaran Bukit Raja 2, yang akan dipajak kepada Shopee Express Malaysia selama 15 tahun mulai September 2023.
"Selain itu, ciri-ciri alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam hartanah perindustrian merupakan satu lagi trend penting.
"Axis REIT sebelum ini telah membeli Gudang Logistik DW1 di Pelabuhan Tanjung Pelepas, yang merupakan aset perindustrian hijau pertama REIT yang diperakui," katanya. - DagangNews.com








