ANIH Berhad aktifkan laluan kontra di Terowong Genting Sempah bermula malam ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ANIH Berhad aktifkan laluan kontra di Terowong Genting Sempah bermula malam ini

Gambar panoramio.com
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Okt - Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad dengan sokongan Lembaga Lebuhraya Malaysia akan mengambil bahagian dalam latihan simulasi kecemasan di Terowong Genting Sempah bermula pukul 11 malam ini hingga 4 pagi esok.

 

Latihan itu bertujuan menguji tahap persediaan dan memperkukuhkan prosedur menghadapi bencana yang dikelolai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di sempena Bulan Kesiapsiagaan Bencana.

 

Sehubungan itu, pihak ANIH Berhad akan mengaktifkan laluan kontra di lokasi terbabit bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang simulasi dijalankan.

 

Latihan simulasi tersebut diadakan bagi menguji tahap kecekapan anggota pasukan penyelamat serta persediaan agensi-agensi terbabit seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menghadapi situasi kecemasan kemalangan di lebuh raya. 

 

Seramai 400 petugas dari pelbagai agensi akan turut sama menjayakan latihan simulasi ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif ANIH Berhad, Imran Gulcharan Abdullah berkata, kerjasama strategik antara pengurusan ANIH, pasukan kecemasan dan agensi tempatan serta pihak media bermatlamat untuk memperkukuh hubungan libat urus dan kerjasama erat bagi memperkasakan kemahiran semasa menghadapi kecemasan.

 

"Antara perkara yang menjadi tumpuan termasuk kerja-kerja menyelamat, pengalihan, pengurusan trafik, pembersihan, dan komunikasi kepada orang ramai. Sehubungan itu, pihak ANIH Berhad akan mengaktifkan laluan 'contra flow' di lokasi bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang simulasi dijalankan.

 

“Pihak ANIH komited memastikan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya menjadi keutamaan. Oleh itu, kami bersedia untuk berkolaborasi bersama agensi-agensi berkaitan bagi mencapai matlamat tersebut. Latihan seumpama ini juga akan membantu kami mengukur tahap persediaan kakitangan ANIH Berhad dan agensi berkaitan. 

 

 

anih

 

 

"Pihak ANIH juga akan mengaktifkan jaringan gelap yang bertujuan untuk menyampaikan maklumat terkini situasi 'kejadian' tersebut kepada para pengguna. Ini juga akan melibatkan penggunaan semua platform media sosial kami dengan kerjasama pihak media bagi memberikan maklumat terkini tentang latihan simulasi tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

ANIH Berhad ingin menasihati pengguna untuk merancang perjalanan sepanjang tempoh latihan simulasi demi keselamatan dan keselesaan mereka. 

 

Bagi mendapatkan informasi tepat dan terkini, para pengguna dipelawa untuk mengikuti saluran ANIH TV di https://www.youtube.com/c/ANIHTV selain saluran rasmi media sosial Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik, @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia dan @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT - Line di 1-700-818-700. - DagangNews.com