KUALA LUMPUR 16 Feb - Anak syarikat milik 70% Tenaga Nasional Bhd., Sepang Power Sdn Bhd (SPSB) akan dibubarkan tiga bulan selepas penyerahan pemulangan mesyuarat penggulungan terakhir hari ini dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Namun, pembubaran itu tidak akan memberi kesan kepada pendapatan dan aset bersih syarikat utiliti itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) atau operasinya, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat itu berkata, pemegang sahamnya telah memutuskan pada mesyuarat agung sebelum ini untuk membubarkan SPSB secara sukarela dan Datuk Mohd Afrizan Datuk Hussain dan Afrizan Tarmili Khairul Azhar telah dilantik sebagai likuidator.
"Ini bukan merupakan anak syarikat utama TNB dan ia membabitkan kos pelaburan sebanyak RM700,000.
"Penggulungan secara sukarela ini merupakan usaha rasionalisasi TNB untuk menutup anak syarikat yang tidak aktif/dormant dalam kumpulan,” jelasnya.
TNB mengambil alih SPSB pada 2002 untuk membangun, membina dan mengendalikan kemudahan elektrik turbin gas kitaran terbuka baharu 480 MW di Kuala Langat.
Bagaimanapun, projek itu tidak menjadi kenyataan dan SPSB tidak aktif sejak 2002. - DagangNews.com








