AmInvestment optimis Lee Swee Kiat mampu muncul pengeluar terbesar tilam asli lateks di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvestment optimis Lee Swee Kiat mampu muncul pengeluar terbesar tilam asli lateks di Malaysia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Feb - Lee Swee Kiat Group (LSK) dijangka mampu menguruskan kesan daripada lonjakan harga lateks pekat asli baru-baru ini, menurut AmInvestment Research.

 

Ia mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham kumpulan itu dengan nilai saksama tidak berubah sebanyak 90 sen sesaham berdasarkan nilai perusahaan (PE) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) sebanyak 11.7x pada pariti dengan median lima tahunnya dan tiada pelarasan nilai saksama berkaitan ESG berdasarkan penilaian tiga bintang yang tidak berubah.

 

Menurut nota AmInvestment hari ini, ramalan pendapatan kumpulan itu dikekalkan untuk FY22 hingga FY24 berikutan kenaikan harga lateks pekat asli sebanyak 14% daripada RM4.71 sekilogram pada awal Januari 2023 kepada RM5.36 sekilogram pada pertengahan Februari yang masih dalam harga andaian firma itu iaitu RM5.50 sekilogram untuk FY23.

 

Setakat ini, harga purata lateks pada tahun ini 9% lebih tinggi berbanding suku keempat 2022 (4QFY22) berikutan beberapa faktor iaitu pembukaan semula China, penyakit tompok daun bulat yang menjejaskan pengeluaran getah di Indonesia dan Malaysia serta kitaran musim dingin industri getah yang biasanya jatuh pada Februari sehingga Mei selama empat ke enam minggu.

 

Firma itu berkata, LSK dapat melakukan sebarang kenaikan kos bahan kepada pelanggannya memandangkan kumpulan itu merupakan pengeluar terbesar tilam getah asli di Malaysia bersama jenama terkenalnya seperti Napure dan Englander.

 

Jelasnya lagi, berdasarkan model regresinya, kenaikan harga purata lateks akan menyebabkan anggaran pengurangan 0.5 hingga 1.5% mata dalam margin keuntungan bersih LSK pada suku pertama FY23 (1QFY23), dengan andaian tiada pengaturan lindung nilai.

 

“Ini berbeza dengan pengembangan margin keuntungan bersih 3.8 hingga 4.8% mata dalam 4QFY22 daripada 2QFY22 dengan purata harga lateks yang lebih rendah sebanyak 28% memandangkan LSK tidak menanggung kos lindung nilai tambahan pada suku tersebut, tidak seperti 3QFY22,” tambahnya.

 

Oleh itu, AmInvestment optimis LSK akan menjadi pengeluar terbesar tilam asli lateks di dalam negara serta memperluaskan bahagian pasarannya berbanding rakan domestiknya dan bekerjsama dalam pemasaran tilam Aseries melalui model perniagaan berasaskan sewaan di bawah platform Cuckoo.

 

Saham syarikat itu ketika ini didagangkan pada FY23 PE yang menarik sebanyak 10.5x iaitu 10% diskaun kepada median lima tahun sebanyak 11.7x sambil menawarkan hasil dividen yang lumayan sebanyak 3.8%. 

 

Selain itu, LSK mempunyai kedudukan tunai bersih yang sihat sebanyak RM9 juta atau 7% daripada modal pasaran. -DagangNews.com