KUALA LUMPUR 5 Julai - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sime Darby Bhd. dengan nilai wajar lebih rendah pada RM2.88 daripada RM2.90 sesaham selepas melupuskan perniagaan Pelabuhan Weifang pada harga 1.92 bilion renminbi (kira-kira RM1.27 bilion).
Langkah itu menandakan pengakhiran perniagaan kumpulan dalam bidang pelabuhan yang bukan perniagaan terasnya.
Ia dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Sime Darby Overseas (HK) Limited (SDOHK), yang memeterai perjanjian jualan saham dengan SPG Bohaiwan Port Group Company Limited untuk melupuskan syarikat-syarikat Pelabuhan Weifang.
"Susulan pelupusan ini, kami menaikkan unjuran hasil Sime Darby bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23)-FY24 sebanyak 1% selepas mengeluarkan sumbangan hasil daripada Pelabuhan Weifang ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Di samping hasil pelupusan berkenaan, SDOHK akan menerima jumlah indikatif sebanyak 541 juta renminbi (kira-kira RM357 juta) sebagai bayaran balik bagi pinjaman pemegang saham.
SPG Bohaiwan Port Group adalah sebahagian daripada Shandong Port Group Co yang ditubuhkan oleh kerajaan wilayah Shandong untuk menyatukan aset pelabuhan di wilayah berkenaan.
Hasil jualan syarikat-syarikat Pelabuhan Weifang oleh Sime Darby akan digunakan sebagai dana pelaburan dalam perniagaan teras kumpulan dalam sektor perindustrian dan automotif pada masa depan, untuk perbelanjaan modal dan/atau pembayaran balik pinjaman jangka pendek.
Perjanjian jual beli saham dijangka selesai menjelang suku keempat 2022.
Secara dasarnya, AmInvestment adalah neutral terhadap langkah berkenaan kerana ia bukanlah sesuatu yang tidak dijangka dan sejajar dengan usaha mengimbangi semula portfolio Sime Darby.
"Kumpulan telah mengewangkan aset bukan terasnya dan akan mengagihkan semula hasil dengan melabur semula dalam perniagaan terasnya iaitu bahagian motor dan perindustrian untuk pulangan pelaburan yang lebih tinggi," jelasnya.
Malah, dari segi penilaian, firma itu menyifatkan pertimbangan pada RM1.27 bilion itu adalah wajar memandangkan ia menyamai penilaian ketika kumpulan melupuskan syarikat Pelabuhan Jining pada Disember 2020.
Setakat 10.35 pagi ini, harga saham Sime Darby susut 1 sen atau 0.46% kepada RM2.16 dengan 438,400 saham diniagakan. - DagangNews.com








