AmInvestment jangka liberalisasi insurans mulai 1 Oktober jejaskan LPI Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvestment jangka liberalisasi insurans mulai 1 Oktober jejaskan LPI Capital

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Sept - LPI Capital Bhd. dijangka paling terjejas dengan pelaksanaan liberalisasi insurans motor dan kebakaran berkuat kuasa 1 Oktober ini. 

 

Menurut AmInvestment Bank Research, syarikat itu merupakan pemain utama dalam segmen insurans kebakaran berdasarkan kepada campuran tarif polisi kebakaran yang lebih tinggi dengan menduduki tempat pertama dalam industri.

 

"Oleh itu, berbanding Allianz Malaysia Bhd. dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd., LPI Capital akan lebih terkesan dari segi harga bagi insurans kebakaran," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Mulai 1 Oktober ini, harga produk untuk kebakaran dan motor akan diliberalisasikan lagi (Fasa 2A) dengan tarif untuk produk tarif kebakaran akan dikurangkan sebanyak 15%.

 

Harga untuk produk kebakaran bukan tarif juga akan dipinda kepada julat sehingga -30% daripada kadar tarif baharu (tarif kebakaran disemak 2.0).

 

Ini akan memansuhkan keupayaan untuk mengenakan premium sehingga +30% daripada kadar tarif kebakaran seperti dalam Fasa 2.

 

Bermula tarikh itu juga, fleksibiliti harga untuk motor akan dinaikkan kepada julat sehingga +/- 15% daripada tarif, lebih tinggi berbanding sehingga +/-10% daripada tarif yang kini berada di bawah Fasa 2.

 

Berkuat kuasa 1 Julai 2023, Fasa 2B pula akan bermula dengan fleksibiliti harga yang lebih tinggi untuk produk motor. 

 

Dalam fasa ini, harga bagi kedua-dua produk kebakaran dan bukan tarif akan tertakluk kepada tidak lebih daripada -30% daripada tarif kebakaran 2.0 yang disemak semula.

 

Pada masa sama, julat harga untuk produk motor akan dinaikkan kepada +/-20% daripada tarif. Peningkatan dalam fleksibiliti harga untuk motor akan tertakluk kepada syarikat insurans yang melakukan pembaharuan, sekali gus meningkatkan kecekapan tuntutan motor.

 

Secara keseluruhan, AmInvestment Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor indusrans memandangkan ia masih kekal mencabar.

 

Ini terutamanya disebabkan ketidaktentuan FRS17, tuntutan lebih tinggi selepas pembukaan semula ekonomi dan liberalisasi berterusan yang akan memberi tekanan ke atas harga untuk produk kebakaran dan motor bagi pengendali insurans dan takaful.

 

Pilihan utamanya bagi sektor itu ialah Allianz Malaysia yang mempunyai kedudukan penguasaan bahagian pasaran nombor satu dalam insurans am yang akan meletakkannya lebih kukuh untuk menahan persaingan harga daripada liberalisasi beransur-ansur tarif kebakaran dan motor serta penyatuan pemain dalam industri di samping kurang terjejas dengan pelaksanaan FRS17. - DagangNews.com