KUALA LUMPUR 9 Jan - Allianz Malaysia Berhad menerusi cabang tanggungjawab sosial korporatnya, Allianz4Good bekerjasama dengan Malaysia International Search and Rescue (MISAR) untuk misi bantuan banjir di Pulau Tuba di Langkawi, Kedah pada bulan November tahun lepas.
Ketua Allianz4Good, Ng Siew Gek berkata, penduduk pulau di Pulau Tuba kebanyakannya bekerja sebagai nelayan dan mata pencarian mereka terjejas teruk akibat banjir.
“Kami berharap sumbangan jentera dan latihan yang kami sediakan mampu menyokong pemulihan segera selepas banjir, membolehkan aktiviti ekonomi mereka kembali dijana dan mengurangkan kesan kewangan yang besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Banjir baru-baru ini telah menyebabkan tanah runtuh di Pulau Tuba, mengakibatkan jalan raya di sekitar pulau itu dihalang runtuhan batu dan pokok tumbang yang membahayakan penduduk pulau.
Di samping itu, Pulau Tuba menghadapi sistem penyaluran air yang tidak baik yang menyumbang kepada banjir kilat.
Pada masa sama, Allianz4Good dan MISAR berunding dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Langkawi dan Kedah sebelum menyalurkan usaha bantuan dalam bentuk peralatan tindak balas kepada petugas kecemasan di komuniti tersebut.
Syarikat turut menyumbang jentera termasuk tukul jek, penjana bekalan kuasa dan pam penjana air bersih guna semula dan lain-lain.
Pengerusi MISAR dan aktivis keselamatan, Kapten Balasupramaniam dan pasukannya turut melatih penduduk Pulau Tuba tentang cara bantuan bagi memastikan mereka boleh menjalankan kerja-kerja pembaikan sendiri sekiranya berlaku kecemasan banjir pada masa hadapan.
Pada 2019, Allianz Malaysia memulakan projek untuk menubuhkan pusat komuniti di Pulau Tuba dengan tujuan meningkatkan tahap celik huruf dan akses kepada pendidikan berkualiti dalam kalangan masyarakat setempat.
Tahun lepas, syarikat bekerjasama dengan MISAR untuk menyediakan Latihan Kemandirian Banjir untuk rakyat Malaysia, ahli Allianz We Care Community dan kakitangannya, agar lebih bersedia menghadapi banjir. - DagangNews.com








