Allianz agih sumbangan RM65,534 kepada tujuh pertubuhan kebajikan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Allianz agih sumbangan RM65,534 kepada tujuh pertubuhan kebajikan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Julai - Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd mengagihkan lebihan pertama daripada Kumpulan Wang Peruntukan Tuntutan (CAF) PerlindunganKu Allianz4All yang memanfaatkan tujuh pertubuhan kebajikan. 

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, jumlah lebihan yang boleh diagih yang dijana daripada CAF adalah RM65,534.51. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Bhd, Sean Wang berkata, pihaknya komited untuk mewujudkan impak positif kepada masyarakat yang melengkapkan barisan produk sedia ada menerusi penawaran produk unik Allianz4All Untuk Semua. 

 

"Kami berusaha dalam memberikan perlindungan kepada semua lapisan masyarakat dan terus meneroka cara-cara baru untuk berkhidmat kepada setiap segmen masyarakat," katanya dalam kenyataan media di sini. 

 

Menurut Sean, ia mencerminkan keyakinan pasaran untuk siri produk Allianz4All bukan sahaja memberi manfaat kepada pemegang polisi tetapi juga mendorong penyertaan pemegang polisi dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dengan pemilihan kategori kebajikan dimahukan apabila polisi tersebut dibeli.

 

Dalam pada itu, lebihan CAF dibahagikan kepada pendidikan, Orang Kurang Upaya (OKU) dan usaha bantuan. 

 

Lebihan yang diraih daripada kategori “tiada keutamaan” telah disalurkan kepada kategori pendidikan (RM8,282.02) dan OKU (RM6,481.94) untuk menyamaratakan derma kepada rakan sosial yang terpilih. 

 

Daripada jumlah lebihan sejumlah RM65,534.51 tersebut, sejumlah RM16,551.23 (25.26%) disalurkan kepada pendidikan, RM25,087 (38.28%) kepada OKU dan RM23,896.28 (36.46%) kepada organisasi bantuan.

 

Melalui cabang tanggungjawab korporatnya, Allianz4Good ditugaskan untuk mengenal pasti dan mengagihkan lebihan CAF kepada pertubuhan kebajikan terpilih. 

 

Buku Jalanan Chow Kit, Persatuan Pendidikan Anak Cahaya Selangor, Persatuan Orang Cacat Mental Selangor & Wilayah Persekutuan, Rumah Amal Cheshire Selangor, Persatuan Mobiliti Selangor dan Kuala Lumpur, Yayasan MyKasih dan MERCY Malaysia adalah antara badan kebajikan yang dikenal pasti akan menerima lebihan. - DagangNews.com