KUALA LUMPUR 6 Sept - Alliance Islamic Bank Bhd menjalin kerjasama dengan SURI Inspirasi melancarkan 'MAH-SURI Lifestyle Project', yang merupakan inisiatif meningkatkan taraf hidup para ibu tunggal kurang bernasib baik di Langkawi, Kedah bagi melengkapkan mereka kemahiran menjana pendapatan sendiri.
Kempen sumbangan korporat ini adalah sebahagian daripada strategi impak sosial Alliance Islamic Bank di bawah inisiatif SocioBiz, sebuah platform dana sosial patuh syariah yang bertujuan memperkasakan komuniti menerusi keusahawanan.
Melalui projek MAH-SURI, SURI akan meluaskan operasinya ke Langkawi untuk membantu ibu-ibu kurang bernasib baik memperoleh pendapatan dengan menyediakan sokongan dan latihan dalam teknik menjahit secara kreatif, rekabentuk dan pembangunan produk.
Selain itu, bank merancang untuk mengumpulkan dana sehingga RM70,000 untuk membeli peralatan penting bagi memastikan kejayaan projek ini.
Antara peralatan yang dibeli termasuklah mesin jahit industri dan juga mudah alih, komputer riba khusus untuk tujuan mereka bentuk dan meja cetakan baju Flexsilk rekaan tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada peningkatan kesejahteraan kehidupan individu dan masyarakat bagi membolehkan pembangunan kehidupan yang mampan.
Katanya, selaras dengan matlamat menjadi bank untuk masyarakat, kerjasama dengan SURI menekankan misi yang dikongsi bersama iaitu meringankan cabaran yang dihadapi komuniti kurang bernasib baik.

"Ini dapat dicapai melalui pemerkasaan dan kemahiran keusahawanan yang menekankan dedikasi kami terhadap perubahan yang positif.
"Kami membayangkan inisiatif MAH-SURI dapat memupuk kemahiran berdikari dan daya tahan kewangan dan pada masa sama menggalakkan pendekatan yang berasaskan kelestarian dan kesedaran alam sekitar," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Dalam pada itu, secara keseluruhannya, Alliance Islamic Bank mengumpulkan dana sebanyak RM1.7 juta sepanjang tiga tahun lalu.
Pada tahun kewangan 2024, bank berhasrat untuk menyumbang sebanyak RM1 juta melalui pelbagai inisiatif di bawah program SocioBiz selain menyumbang kepada Program Bantuan Banjir yang mana barangan keperluan banjir bernilai lebih RM50,000 tdisumbangkan kepada lebih 200 isi rumah.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif MAH-SURI atau untuk memberi sumbangan, sila kunjungi platform SocioBiz Alliance Islamic Bank di globalsadaqah.com/campaigns/aib-mahsuri. - DagangNews.com








