KUALA LUMPUR 23 Feb - Untung bersih Malayan Cement Bhd menjunam 72% kepada RM15.25 juta pada suku kedua untuk tahun kewangan berakhir pada 31 Jun 2023 (2QFY23) daripada RM54.92 juta bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Menurut laporan kewangan syarikat itu di Bursa Malaysia, hal tersebut adalah berikutan peningkatan kos pengeluaran, terutamanya pada arang dan elektrik.
Ini juga menyebabkan keuntungan bersih syarikat itu untuk separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) menurun sebanyak 48% pada RM16.21 juta berbanding RM31.17 juta bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Tambahnya, pendapatan 1HFY23 syarikat juga terkesan oleh kos pembiayaan yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, pendapatannya pada 2QFY23 meningkat 9.2% kepada RM896.97 juta berbanding RM821.05 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya berikutan harga penjualan simen domestik yang meningkat.
Manakala, pendapatan kumpulan tersebut pada 1HFY23 meningkat 58.8% kepada RM1.76 bilion daripada RM1.11 bilion.
Peningkatan pendapatan pada 1HFY23 didorong oleh penggabungan pendapatan 10 syarikat dan anak syarikat yang diambil alih daripada syarikat induknya, YTL Cement Bhd yang telah diselesaikan pada 21 September 2021.
Perolehan sesaham (EPS) syarikat itu juga berkurang daripada 4.19 sen sesaham kepada 1.16 sen sesaham.
Syarikat pembekal bahan binaan itu, bagaimanapun, tidak berkongsi ramalan dan jaminan keuntungan dalam laporan kewangan tersebut. -DagangNews.com








