KUALA LUMPUR 14 Feb - AirAsia X menjalin kerjasama terbaharu dengan Teleport dalam usaha memacu penggunaan penuh ruang kargo pesawatnya.
Melalui kerjasama ini, Teleport akan menggunakan sepenuhnya ruang kargo dalam salah sebuah pesawat A330-300 milik syarikat penerbangan ini untuk tempoh permulaan selama setahun.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, pihaknya juga sedang berbincang dengan beberapa buah syarikat global utama lain yang memerlukan perkhidmatan kargo udara, terutama di negara ia beroperasi dan mempunyai hak penerbangan.
Katanya, walaupun hanya 2 bulan selepas penstrukturan semula, kumpulan dapat melihat pengembangan operasi kargo yang semakin ketara.
"Ini adalah sejajar dengan strategi perkhidmatan penerbangan gabungan. Kami menjangkakan pada masa hadapan, pendapatan daripada perkhidmatan kargo akan menyokong strategi laluan kami dan buat pertama kalinya, para penumpang akan menjadi pendapatan sampingan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Teleport merupakan cabang logistik bagi Capital A Bhd. (dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group), akan menggunakan kapasiti tambahan daripada AirAsia X untuk memenuhi keperluan perkhidmatan penghantaran kepada para pelanggannya di seluruh Asia Pasifik.
Baru-baru ini, AirAsia X telah mengumumkan kerjasama strategik dengan peneraju logistik global GEODIS, untuk mengendalikan penerbangan kargo mingguan di seluruh Asia Pasifik untuk jangka masa panjang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Teleport, Adrian Loretz berkata, kerjasama dengan AirAsia X akan memanfaatkan pesawat A330 sebagai salah sebuah pesawat kargo utama.
Katanya, selain pesawat kargo khas iaitu 737-800, pesawat A330 tambahan ini membolehkan syarikat menyediakan lebih banyak akses kapasiti untuk memenuhi permintaan pelanggan di rantau ini dari hab utama di Kuala Lumpur dan Bangkok.
"Pada tahun ini, kami akan terus berusaha memperkukuhkan penggunaan pesawat dan menambah lebih banyak destinasi utama ke dalam rangkaian kami dengan liputan meluas di Asia Tenggara dan lain-lain selain memanfaatkan rangkaian luas dan kekerapan tinggi oleh pesawat penumpang AirAsia sedia ada.
"Ini amat penting kerana kami memfokuskan sebahagian besar sumber syarikat untuk memainkan peranan utama dalam rantaian bekalan kerana kami menjangkakan segmen ini akan terus berkembang dengan ketara pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com


