KUALA LUMPUR 13 Mac - AirAsia kini kembali mengumumkan jualan tempat duduk percuma dengan 10 juta tempat duduk ke pelbagai destinasi di seluruh dunia.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam kenyataan berkata, sehingga 19 Mac 2023, para tetamu boleh menerokai keindahan destinasi domestik seperti Langkawi, Pulau Pinang, Johor Bahru dan banyak lagi bermula RM23 sehala.
AirAsia berkata, tempat duduk untuk destinasi yang menarik di seluruh ASEAN seperti Jakarta, Bali, Bangkok, Ho Chi Minh, dan banyak lagi juga tersedia untuk tempahan bermula RM60 sehala.
"Jualan ini akan tamat pada 19 Mac 2023 untuk tempoh perjalanan antara 4 September 2023 dan 13 Ogos 2024," katanya.
Menurut kenyataan itu, AirAsia X menawarkan penerbangan serendah RM329 sehala ke Perth, Taipei dan Tokyo, selain tempat duduk Premium Flatbed ke destinasi-destinasi bermula RM1,299.
"Promosi ini hanya sah mulai sekarang hingga 19 Mac 2023, untuk perjalanan antara 4 September 2023 dan 9 Julai 2024," katanya.
Selain itu, penerbangan AirAsia ke China yang baru sahaja disambung semula juga tersedia untuk jualan.

"Terbang dari Kuala Lumpur ke Hangzhou, Shanghai, Beijing (Daxing), Guangzhou, Shenzhen dan Kunming daripada RM599 sehala, dari Kota Kinabalu ke Guangzhou dan Shenzhen daripada RM299 sehala dan dari Johor Bahru ke Guangzhou daripada RM469 sehala," katanya.
AirAsia juga bekerjasama dengan BigPay untuk menawarkan pengguna diskaun 5% untuk semua penerbangan AirAsia selama setahun dengan menggunakan kod promosi 'BIGPAY5'.


Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia, Karen Chan berkata, kempen tempat duduk percuma AirAsia adalah bukti keyakinan bagi pertumbuhan berterusan pada 2023 dan komitmen dalam menyediakan tambang bernilai hebat.
Katanya, pihaknya menyasarkan keseluruhan jumlah pesawat akan kembali terbang sebelum penghujung 2023.
Sejak Februari, AirAsia telah menerbangkan hampir 20,000 tetamu antara Malaysia dan China dan menjangkakan untuk menerbangkan lebih 600,0000 tetamu dalam beberapa bulan akan datang apabila menambah perkhidmatan untuk memenuhi permintaan. - DagangNews.com








