AirAsia catat jualan 1.2 juta menerusi Kempen Tempat Duduk Percuma | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia catat jualan 1.2 juta menerusi Kempen Tempat Duduk Percuma

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Feb - Sebanyak 1.2 juta tempat duduk terjual bagi penerbangan jarak pendek dan panjang dalam masa kurang seminggu pelancaran Kempen Tempat Duduk Percuma AirAsia baru-baru ini.

 

Kempen tersebut bertujuan untuk memacu industri pelancongan di rantau ASEAN, yang telah terbukti sebagai salah satu pencapaian terbesarnya setakat ini.

 

Masih terdapat hampir 4 juta tempat duduk lagi tersedia untuk tempahan secara eksklusif di airasia Super App dan laman web sehingga Ahad ini untuk perjalanan antara 1 Mac 2023 dan 10 Disember 2023. 

 

Syarikat penerbangan itu dijangka akan menerbangkan 69 juta tetamu setiap tahun yang mana ia akan memberikan rangsangan yang sangat dialu-alukan kepada sektor pelancongan di Malaysia dan ASEAN.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, melihat kejayaan AirAsia yang berterusan mencatatkan rekod jualan dan berjaya mengatasi jangkauan semua pada setiap tahun telah memotivasikan beliau untuk berusaha dengan lebih keras untuk melangkah keluar dari fasa pandemik dengan lebih teguh.

 

"Kami ingin menjadi lebih daripada sebuah ‘syarikat penerbangan tambang rendah’, tetapi kami ingin menjadi sebuah syarikat yang memberikan pengalaman pelanggan terbaik dan sentiasa berinovasi untuk mendengar serta memenuhi keperluan para tetamu," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Para pengembara telah mula mendapatkan tempat duduk percuma untuk ke destinasi jarak pendek popular dan kegemaran mereka seperti Langkawi dan Pulau Pinang di Malaysia, Phuket dan Krabi di Thailand serta Bali, Indonesia.

 

 

airasia

 

 

Tempat duduk ke destinasi AirAsia dan AirAsia X yang lain juga tersedia untuk tempahan pada kadar yang berpatutan berikutan permintaan yang kukuh. 

 

Dengan harga RM99, para tetamu telah menempah percutian mereka ke Chennai, Kolkata, Hong Kong dan Kepulauan Maldives, serta destinasi jarak sederhana dan jauh seperti Taipei, Seoul, Perth, Melbourne serendah RM329.

 

 

airasia

 

 

Bagi mengukuhkan lagi komitmennya dalam menawarkan pengalaman penerbangan yang lebih baik untuk para tetamunya, AirAsia turut melancarkan Insurans Kelewatan Penerbangan yang pertama dalam industri yang dibawakan oleh Tune Protect. 

 

Ia menawarkan bayaran sekali sahaja sebanyak RM200 jika penerbangan ditangguhkan selama sekurang-kurangnya dua jam dari waktu berlepas yang dijadualkan atau mana-mana waktu berlepas baharu. 

 

Manfaat itu tersedia secara percuma kepada semua tetamu yang menempah penerbangan mereka dari 10 hingga 19 Februari 2023 untuk tempoh perjalanan antara 1 Mac 2023 dan 10 Disember 2023. - DagangNews.com