Air Selangor peruntuk RM35.41 bilion untuk bekal air terawat | DagangNews Skip to main content

Air Selangor peruntuk RM35.41 bilion untuk bekal air terawat

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Air Selangor juga akan membelanjakan RM35.41 bilion dalam tempoh 30 tahun di bawah perbelanjaan modal (CAPEX) untuk melaksanakan tujuh rancangan dan inisiatif strategik dalam mengekstrak, merawat, dan mengagihkan bekalan air terawat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata, jumlah itu akan dibelanjakan dalam memastikan pengurusan air yang cekap menerusi usaha menaik taraf aset-aset bekalan air, pelaksanaan inisiatif untuk mengurangkan kadar NRW seterusnya memastikan bekalan air mencukupi untuk semua pengguna.

 

air
Suhaimi Kamaralzaman

 

Suhaimi berkata demikian dalam kenyataan media sempena penerbitan Laporan Prestasi 2019 Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini menerbitkan Laporan Prestasi 2019

Menurutnya, satu daripada fokus utama pada 2019 adalah mengurangkan kadar purata tahunan Air Tidak Berhasil (NRW).

``Kami telah berjaya menurunkan purata NRW dari 31.6% pada 2018 kepada 29.6% tahun lalu. Dalam tempoh tiga tahun sejak 2017, kadar NRW telah dikurangkan secara progresif dan kami percaya bahawa penurunan kadar NRW secara konsisten dapat dicapai pada setiap tahun.

“Kami telah membelanjakan sejumlah RM201.9 juta pada tahun 2019 menerusi Program Pengurangan NRW. Ini termasuk usaha untuk mengurangkan kes paip pecah, pemasangan sensor pada paip utama, kerja penggantian meter lama dan rosak serta penggantian paip lama dan yang kerap pecah,” katanya.

 

airb


Laporan itu juga menunjukkan kejayaan Air Selangor dalam meningkatkan rezab bekalan air kepada 10.97% pada Disember 2019 berbanding 4.51% pada 2018 melalui peningkatan kapasiti pengeluaran bekalan air terawat daripada 34 loji rawatan air termasuk Stream B, Loji Rawatan Air Langat 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang yang telah mula beroperasi pada tahun lalu.

Kejayaan ini adalah hasil daripada perancangan strategik Kerajaan Negeri Selangor dalam memastikan bekalan air berterusan dapat dibekalkan untuk kelangsungan hidup pengguna serta pertumbuhan ekonomi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pencapaian lain Air Selangor pada tahun 2019 adalah pematuhan kualiti air secara keseluruhan pada tahap 99.87%, iaitu melepasi penanda aras bagi Piawaian Kualiti Air Minum Nasional yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu pada tahap 92.7%.

Selain itu, sejumlah RM162.2 juta telah diperuntukkan untuk kerja-kerja penggantian paip lama dan kerap pecah juga terbukti berjaya mengurangkan Indeks Paip Pecah (PBI) kepada 9.6 kes untuk 100km setahun berbanding standard PBI antarabangsa iaitu 13 kes setiap 100km setahun.
 

airs


Suhaimi berkata, walaupun situasi masa depan tidak dapat diramal berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan cabaran semasa pandemik COVID-19, jaminan Air Selangor untuk memberikan perkhidmatan dan prestasi cemerlang tidak berubah dan tetap utuh.

“Dalam kita mengorak langkah di tahun 2020, kami bersedia dan komited untuk mengadaptasi norma baharu. Kami tetap teguh dan fokus dalam memberikan perkhidmatan dan kualiti air yang terbaik seiring dengan usaha untuk memberi pengalaman pelanggan terbaik,’’ katanya. – DagangNews.com