AIBIM, ELMU bekerjasama perkukuh ekosistem integriti tadbir urus industri kewangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AIBIM, ELMU bekerjasama perkukuh ekosistem integriti tadbir urus industri kewangan

Mohd Muazzam Mohamed (kiri) dan Dr Kassim Noor Mohamed (kanan) ketika majlis pertukaran dokumen MoC di Sasana Kijang, baru-baru ini. - Gambar Facebook AIBIM
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan ELMU Education Group memeterai memorandum kerjasama (MoC) bagi menyemai integriti dan tadbir urus korporat di tengah-tengah pemulihan pasca pandemik.

 

MoC tersebut menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama menyediakan ahli bank AIBIM dan platform industri kewangan itu memperkukuh ekosistem integriti dan tadbir urus. 

 

Ia juga bagi menanam integriti dan tadbir urus merentas industri perkhidmatan kewangan menjadi lebih jelas untuk terus mengukuhkan keyakinan serta kepercayaan orang ramai terhadap sistem kewangan. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya menganggap integriti, ketelusan dan akauntabiliti sebagai tumpuan untuk melaksanakan tanggungjawab bersama.

 

"MoC ini akan mengukuhkan industri kewangan Islam, meletakkan kami di landasan yang betul untuk menjadikan Malaysia hab kewangan Islam global," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, Mohd Muazzam yang mewakili AIBIM bersama Ketua Pegawai Eksekutif ELMU, Dr Kassim Noor Mohamed bertukar MoC sambil disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya di Sasana Kijang, di sini baru-baru ini.

 

Kassim pula berkata, ini menandakan satu lagi peristiwa penting bagi Kumpulan ELMU, untuk bekerjasama rapat dengan AIBIM.

 

"Kami teruja dengan kerjasama ini sebagai Rakan Kongsi Pengetahuan AIBIM, dan selari dengan komitmen untuk menyokong integriti, perkongsian pengetahuan dan pengalaman dalam industri kewangan," katanya. - DagangNews.com