AEON BiG Subang tidak ditutup | DagangNews Skip to main content

AEON BiG Subang tidak ditutup

aeon big

KUALA LUMPUR 14 Julai - Ibu pejabat AEON BiG (M) Sdn. Bhd. di Subang, Selangor tidak berdepan dengan penutupan operasi susulan kes mahkamah melibatkan syarikat Mega Continental Sdn. Bhd (Mega Continental).

Sebaliknya, sumber dalaman AEON Co. (M) Berhad mendedahkan AEON BiG berkenaan ditutup sementara kerana sedang diselenggara dan akan beroperasi seperti biasa. 

Jelasnya, kes itu juga masih dalam proses perbicaraan mahkamah di Alor Setar yang akan berlangsung esok.

“Hanya AEON BiG Alor Setar yang ditutup kerana kes berkenaan. Buat masa ini, pihak AEON BiG Subang tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan kerana perbicaraan mahkamah masih berlangsung.

“Ini sebagai tanda menghormati perjalanan kes di mahkamah,” katanya kepada DagangNews.com hari ini.

Terdahulu, sebuah portal bisnes tempatan melaporkan bahawa AEON BiG di Subang akan ditutup kerana gagal membayar sejumlah wang RM140 juta kepada Mega Continental atas perintah mahkamah. 

Mega Continental merupakan sebuah syarikat yang terlibat dalam industri dana dan kewangan yang berpusat di Pulau Pinang, milik Belleview Group.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai punca kes berkenaan, sumber enggan memberi sebarang maklum balas  memandangkan proses perbicaraan mahkamah masih berjalan. 

“Kes (perbicaraan) akan berjalan esok, kita tunggu sahaja keputusannya,” kata sumber. - DagangNews.com