KUALA LUMPUR 10 Feb - Aemulus Holdings Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Aemulus Corporation Sdn. Bhd. memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Tangren Microtelligence Technology (Jiashan) Co., Ltd.
MoU tersebut adalah berkaitan suntikan modal dalam Tangming Shengshi Technology (Jiashan) Co., Ltd. (TMSS), menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
"Tiada nilai kontrak dinyatakan memandangkan MoU ini adalah hasrat kedua-dua pihak untuk melaksanakan suntikan modal dalam TMSS.
"Jumlah suntikan modal akan ditentukan dan dimuktamadkan kedua-dua pihak," katanya.
Tangren terlibat dalam reka bentuk dan pembangunan peralatan semikonduktor, penjualan peralatan dan instrumen semikonduktor dan penyediaan perkhidmatan perundingan reka bentuk.
Buat masa ini, Aemulus dan Tangren masing-masing memiliki 40% dan 60% kepentingan dalam TMSS.
Menerusi MoU itu, Aemulus dan Tangren bersetuju menerima suntikan modal ke dalam TMSS pada nisbah 40% dan 60% masing-masing dalam tempoh 3 bulan dari tarikh berkuat kuasa.
Menurut Aemulus, MoU itu dijangka tidak memberi kesan material kepada pendapatan, aset bersih dan gearan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2022.
"Sebaliknya, apabila perjanjian ini direalisasikan, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan," tambahnya. - DagangNews.com








