KUALA LUMPUR 27 Ogos - Accor menandatangani perjanjian bersama Kumpulan Worldwide Hotels bagi memperkenalkan dua hartanah baharu untuk membangunkan hotel di Kuala Lumpur.
Accor, dalam satu kenyataan berkata, setelah dua hartanah tersebut diubahsuaikan dan dijenamakan semula, ia akan membuat penampilan sulung di bawah jenama Grand Mercure di Malaysia serta penambahan ibis Styles pada suku pertama 2025 (Q12025).
Grand Mercure terletak secara strategik di antara hab hiburan Bukit Bintang dan Chinatown yang hotel tersebut menyediakan 325 bilik, pusat kecergasan yang serba lengkap, restoran makan beroperasi sepanjang hari dan kolam renang.
"Pada tahun 2023, kami memperkenalkan bahagian Premium, Skala Sederhana dan Ekonomi (PM&E) khusus untuk membawa kepakaran, mempercepatkan pertumbuhan, meningkatkan prestasi dan menyampaikan tahap perkhidmatan untuk pemilik dan tetamu hotel.
"Bagi memperkukuhkan kedudukan kami dalam segmen tersebut, kedua-dua perjanjian tersebut akan menjadikan jumlah bilik penginapan PM&E di seluruh Asia kepada 46,802.
Menurut Accord, ibis Styles mengembangkan kehadirannya di Malaysia dengan lokasi baharu di Bukit Bintang Kuala Lumpur, menampilkan 168 bilik yang diilhamkan oleh tema unik, restoran dan bar makan sepanjang hari, dobi layan diri serta ruang kecergasan moden.
Ketua Pegawai Operasi Bahagian Premium, Pertengahan dan Ekonomi Accor di Asia, Garth Simmons berkata, Kuala Lumpur merupakan destinasi strategik untuk membawa jenama global Accor.
"Pertumbuhan portfolio PM&E kami di Malaysia adalah bukti pengiktirafan dan kepercayaan yang ditunjukkan secara konsisten oleh tetamu, pelabur dan rakan kongsi hotel kami di rantau ini," ulasnya.
Mengulas tentang perjanjian tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Worldwide Hotels, Carolyn Choo berkata kerjasama tersebut menandakan pencapaian penting dalam perjalanan syarikat meningkatkan landskap hospitaliti di Malaysia.
"Bersama-sama dengan Accor, kami yakin untuk menyampaikan pengalaman luar biasa yang mencerminkan intipati budaya unik Kuala Lumpur," ujar beliau.
Sementara itu, Accor kini mengendalikan 24 hotel dalam segmen premium, sederhana dan ekonomi merentasi lima jenama di Malaysia, termasuk Pullman, Mövenpick, Novotel, ibis serta ibis Styles dan mempunyai rangkaian 11 hotel yang kukuh.- DagangNews.com








