KUALA LUMPUR 10 Jun - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan agar mengutamakan suntikan satu dos vaksin dahulu kepada rakyat Malaysia untuk meningkatkan jumlah rakyat Malaysia yang mendapat perlindungan vaksin.
Ketua Biro Kesihatan ABIM, Dr Zafri Ismadi Mohd Anis berkata, memandangkan bekalan vaksin adalah terhad dan stok yang lebih banyak dijangka akan tiba dalam bulan Julai, maka langkah ini adalah sesuai.
Tambahan pula kata beliau lagi, vaksin secara umumnya hanya akan mula berkesan dalam 10 hinggi 14 hari selepas suntikan.
Menurutnya, data daripada kajian berskala besar di United Kingdom menunjukkan perlindungan adalah sangat memuaskan dengan dos pertama iaitu sebanyak sekurang-kurangnya 70%.
"Juga risiko kemasukan hospital berkurangan sehingga 85% dan risiko kematian sehinga 80%.
"Tindakan memberikan dos pertama dahulu adalah penting memandangkan bilangan kematian akibat pandemik ini semakin meningkat. Kapasiti unit rawatan rapi (ICU), hospital dan pusat kuarantin juga sudah sesak dan melimpah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dari segi tempoh perlindungan, kajian mendapati perlindungan masih dapat bertahan selama 12 minggu dari suntikan pertama.

Dr Zafri Ismadi berkata, harus diingatkan langkah ini bukanlah untuk menafikan keperluan dos kedua. Dos kedua masih perlu diberikan agar perlindungan mencapai lebih 90%.
"Kaedah ini merupakan langkah awal untuk membina immuniti kelompok dalam tempoh yang lebih cepat, agar membina ketahanan awal rakyat terhadap penularan wabak COVID-19. Suntikan tambahan satu lagi dos boleh diberikan melalui pusingan kedua suntikan dos vaksin," ujarnya.
ABIM juga menyarankan agar kerajaan membuka luas lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk meningkatkan capaian vaksin menyeluruh.
Dr. Zafri Ismadi berkata, usaha kerajaan untuk melibatkan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan klinik swasta adalah sangat dialu-alukan kerana lokasi mereka yang lebih dekat dengan komuniti membolehkan rakyat mendapat akses yang lebih mudah kepada vaksin.
Menurut beliau, kebanyakan klinik swasta sudah mempunyai perkakas asas untuk pemvaksinan. Teknik pemvaksinan secara pandu-lalu yang diperkenalkan juga dapat diulang-laksana di lokasi lain di seluruh negara.
"Adalah diharapkan kerajaan memudahkan dan tidak menyusahkan agar proses pemvaksinan boleh berlangsung tanpa masalah birokrasi.
"Ini semua dibuat agar imuniti kelompok dapat dicapai untuk membolehkan rakyat membina semula kehidupan mereka semula seperti dahulu," kata beliau.
Dalam pada itu, ABIM sebagai gerakan masyarakat akan turut menggembleng untuk tenaga membantu KKM dalam usaha untuk memvaksinkan masyarakat seramai mungkin, secepat mungkin.
"ABIM akan terus memberi sokongan kepada Barisan Hadapan khususnya dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah membantu untuk mencari jalan keluar kepada Pandemik COVID-19 ini," kata beliau. - DagangNews.com








