9 pelajar UPM sertai program mobiliti jelajah New Zealand | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

9 pelajar UPM sertai program mobiliti jelajah New Zealand

Program itu memberi pendedahan kepada mahasiswa melalui pelaksanaan aktiviti merangkumi elemen akademik, jelajah ilmiah, lawatan industri, kebudayaan dan dakwah bersama mahasiswa dan komuniti di New Zealand. 
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Sept - Seramai 9 pelajar dari Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai program mobiliti 'Spectacular Scientist Journey: Exploring New Zealand' yang dianjurkan Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains (FaSSA) UPM, baru-baru ini. 

 

Program mobiliti yang berlangsung selama 14 hari bermula 2 Ogos hingga 16 Ogos lalu itu bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa melalui pelaksanaan aktiviti yang merangkumi elemen akademik, jelajah ilmiah, lawatan industri, kebudayaan dan dakwah bersama mahasiswa dan komuniti di New Zealand. 

 

Program itu juga menerusi kerjasama Education Malaysia Global Service (EMGS) serta dua buah universiti terkemuka di New Zealand iaitu University of Canterbury (UC) dan University of Otago (UO). 

 

Pengarah program, Nor Izwan Hakimi berkata, pelaksanaan program ini memberikan peluang kepada para pelajar untuk membuka minda dan meningkatkan kemahiran insaniah kepada tahap yang baik yang secara tidak langsung dapat menghasilkan mahasiswa bermutu tinggi. 

 

"Saya berharap program ini menjadi penanda aras bagi Universiti Putra Malaysia khususnya kepada Fakulti Sains dalam mengadakan lagi program mobiliti berimpak tinggi pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Sepanjang program berlangsung, elemen akademik adalah antara aktiviti utama yang dilakukan yang mana para pelajar berpeluang mengikuti sesi dalam kelas dan jelajah kampus  di University of Canterbury dan University of Otago. 

 

Peserta dapat merasai sendiri pengalaman berada di dalam kelas bersama mahasiswa di universiti tersebut di samping dapat melihat persekitaran dan suasana kehidupan di kampus.

 

 

UPM

 

 

upm

 

 

Selain itu, delegasi UPM turut melakukan beberapa lawatan berkonsepkan Jelajah Ilmiah antaranya di New Zealand Marine Studies Centre, Portobello, sebuah stesen penyelidikan sains marin yang mempamerkan hidupan marin tempatan dan menawarkan pendidikan marin untuk semua peringkat umur serta kemudahan canggih dan lengkap untuk tujuan penyelidikan. 

 

Peserta juga mengunjungi Willowbank Wildlife Reserve, Christchurch, sebuah taman hidupan liar yang mempamerkan pelbagai spesies haiwan dan menjalankan pemuliharaan spesies asli. 

 

 

upm

 

 

upm

 

Di samping itu, lawatan industri ke pusat penyembelihan Alliance Group Smithfield, Timaru bagi melihat proses penyembelihan yang mengikuti standard piawaian halal juga turut dijalankan.

 

Selain itu, para pelajar juga berpeluang mengikuti aktiviti kebudayaan yang dijalankan bersama Te Akatoki Māori Students Association bagi mendalami budaya kaum peribumi Māori di New Zealand. 

 

Satu kelainan pengisian telah diterapkan dalam program mobiliti kali ini iaitu aktiviti dakwah dijalankan di sekitar bandar Queenstown melalui kaedah mendekati beberapa individu secara rawak dan memberikan sedikit perkongsian berkenaan ilmu agama Islam.  - DagangNews.com