7-Eleven dijangka perluaskan lagi konsep 7-cafe kepada para pelanggan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

7-Eleven dijangka perluaskan lagi konsep 7-cafe kepada para pelanggan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Mei - Prospek 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (SEM) kekal menyakinkan selepas melaporkan prestasi kewangan suku pertama yang kukuh. 

 

Dalam nota kajian hari ini, Kenanga Research berkata, tempoh operasi yang lebih lama dan kedatangan pengunjung yang ramai akan terus menyokong pertumbuhan positif kumpulan.

 

Katanya, SEM juga telah berjaya melancarkan 15 cawangan  7-cafe yang menawarkan makanan segar dan juga minuman kepada para pelanggan. 

 

"Kami menjangkakan SEM akan terus mengembangkan cawangan 7-cafe dan kedai serbaneka dengan mengambil peluang daripada peralihan negara kepada fasa endemik. 

 

"Bagaimanapun, kumpulan dijangka berdepan cabaran daripada pemain industri lain, yang turut menawarkan makanan segar mencukupi.

 

"Pada masa sama, kami juga mendapati, segmen farmasi kumpulan terus berkembang kerana pengguna memberi tumpuan kepada penjagaan kebersihan diri walaupun sekatan pergerakan ditarik balik," katanya. 

 

Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, pengendali rangkaian serbaneka itu merekodkan untung bersih sebnayak RM24.38 juta, meningkat lebih daripada 2 kali ganda berbanding RM11.77 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya berikutan hasil yang lebih tinggi menerusi segmen kedai serbaneka dan farmaseutikal.

 

Pendapatan pada suku tersebut juga meningkat 27.8% kepada RM839.98 juta daripada RM657.13 juta, terutamanya disebabkan tempoh operasi yang lebih panjang.

 

Ini membolehkan Kenanga Research menyemak naik unjuran keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) dan hasil SEM bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) masing-masing sebanyak 6% dan 5%.

 

"Semakan semula ini mengambil kira kedatangan pengunjung yang lebih tinggi ke kedai dan campuran produk campuran yang menggalakkan," katanya. 

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap SEM dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM1.70 daripada RM1.60 sebelum itu. - DagangNews.com