3M Inspire Challenge 2022 tawar hadiah AS$5,000 untuk juara serantau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

3M Inspire Challenge 2022 tawar hadiah AS$5,000 untuk juara serantau

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Julai - Syarikat sains global, 3M hari ini melancarkan edisi kedua cabaran kes 3M Inspire Challenge anjurannya menawarkan hadiah wang tunai AS$5,000 bagi merebut gelaran 'Juara Serantau'.

 

Cabaran itu yang sebelum ini diadakan di seluruh negara Asia Tenggara, kini dibuka kepada mahasiswa daripada semua disiplin dan latar belakang di sepuluh negara Asia Pasifik iaitu Australia dan New Zealand, India, Korea, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.

 

Cabarannya mudah, iaitu untuk mempertingkatkan perniagaan 3M dan menambah baik kehidupan merangkumi tiga tema: (1) Bahan Lestari, (2) Paradigma Baharu (Dunia Pasca Pandemik), dan Kesaksamaan (Menerusi Sains dan Teknologi). 

 

Tema tersebut selari dengan tiga daripada lima trend utama yang diketengahkan di dalam platform 3M Futures, yang mengenal pasti trend, maklumat dan perspektif mengenai sains yang paling menarik pada hari ini dan “masa depan”. 

 

Tinjauan persepsi sains tahunan 3M, 3M State of Science Index 2022, turut mendapati kelestarian dan kesaksamaan menjadi perkara yang paling diutamakan di kalangan responden Asia Pasifik. 

 

Naib Presiden Kanan Hal Ehwal Korporat 3M Asia dan Pengarah Urusan 3M Korea, Jim Falteisek berkata, pihaknya komited untuk membebaskan kuasa manusia, idea dan sains. 

 

"Menerusi 3M Inspire Challenge 2022, kami mahu mencungkil penyelesaian bagi mencipta sebuah dunia yang lebih positif untuk masa depan dan pada masa sama menggunakan kepakaran kami bagi memupuk kepelbagaian generasi pemimpin, pemikir, dan pencipta akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Bagi membantu pasukan yang telah disenarai pendek menggilap idea mereka sebagai persediaan untuk ke peringkat akhir pertandingan, para profesional daripada 3M akan membimbing pasukan yang mengambil bahagian bermula pada September 2022 dan seterusnya. 

 

Bermula dengan Separuh Akhir Peringkat negara, tiga pasukan yang telah disenarai pendek akan berentap dengan rakan senegara di dalam panel penghakiman secara langsung pada Oktober tahun ini. 

 

Dianugerahkan dengan gelaran “Juara Negara”, pasukan pemenang dari setiap negara akan membawa pulang hadiah wang tunai AS$2,000, dan menjalani latihan industri di pejabat 3M tempatan. 

 

Pada November, Juara Negara dari setiap negara akan terus ke cabaran Akhir Peringkat Serantau. Di sana, pasukan pemenang utama akan dinobatkan sebagai “Juara Serantau” dan menerima hadiah wang tersebut.

 

Para peserta yang berminat kini boleh mendaftar di laman sesawang 3M Inspire Challenge di (http://go.3m.com/3minspirechallenge)- DagangNews.com