Rakyat masih tunggu Reformasi Anwar - Sin Chew Jit Poh | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 11 September 2023

RAKYAT MASIH TUNGGU REFORMASI ANWAR - SIN CHEW JIT POH

Sin Chew Jit Poh 8 & 10 September 2023

 

 

HAMPIR setahun Kerajaan Perpaduan berkuasa, ramai orang telah menzahirkan pandangan ‘tidak sabar’ dan mula mengkritik Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana reformasi yang diperjuangkannya tidak membawa sebarang kesan.

 

Malahan ramai yang menyamakan Kerajaan Perpaduan tiada bezanya dengan kerajaan yang terdahulu dalam mengendalikan beberapa kes mahkamah.

 

Dalam hal ini, Khairy Jamaluddin mempersendakan ‘reformasi’ yang dianjurkan oleh PM itu dahulu, kini telah bertukar menjadi ‘reformati’ berikutan keputusan Peguam Negara memberhentikan semua prosiding terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan menyaksikan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) beliau.

 

Kerajaan tidak campur tangan hal mahkamah

Perbicaraan mahkamah tidak boleh dipersoalkan atau dikritik. PM juga telah memberitahu bahawa beliau tidak campur tangan dalam kes Ahmad Zahid.

 

Jika dilihat dari perspektif politik Kerajaan Perpaduan, kebetulan ini juga membolehkan kerajaan mengekalkan kestabilan.

 

Kabinet tidak perlu rombakan kerana TPM masuk penjara, dan UMNO sebagai ‘pelengkap’ Kerajaan Perpaduan juga tidak perlu penyusunan semula.

 

 

apa

 


Begitu juga Anwar tidak perlu berdepan dengan kecaman bahawa keputusannya untuk menerima Ahmad Zahid adalah satu kesilapan.

 

Namun, penganalisis semasa berpendapat ini adalah ‘balasan terbaik’ kerajaan Anwar kepada UMNO. Cuma apabila ia berlaku beberapa hari sebelum hari pengundi 2 PRK di Johor, ia telah menimbulkan pelbagai spekulasi.

 

Rakyat teruja menunggu reformasi Anwar

Sebenarnya tidak sukar untuk memahami perasaan rakyat terutamanya dalam kes mahkamah Ahmad Zahid dan Bung Mokhtar.

 

Apabila kedua-dua mereka dilepaskan dari mahkamah, sudah tentu orang ramai akan berasa tidak puas hati malah meluat dengan janji Kerajaan Perpaduan sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

 

Kecaman ini juga menggambarkan kepercayaan rakyat bahawa Kerajaan Perpaduan tidak menunaikan janji.

 

Ini adalah gambaran apabila ‘semakin besar harapan, semakin besar kekecewaannya’. Jadi perasaan dikawal oleh emosi dan mungkin bukan atas analisis rasional dalaman sebenar.

 

Selain itu, tuntutan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan sering kelihatan terlalu mendesak dan datang dari jangkaan yang keterlaluan.


 

reformasi

 


Rakyat memilih untuk mengabaikan kekangan dan cabaran yang sedang dihadapi oleh Kerajaan Perpaduan sehingga menyebabkan reformasi perlu mengambil lebih banyak masa untuk direalisasikan.

 

Perubahan memerlukan pemahaman

Untuk memahami kekangan yang dihadapi oleh kerajaan, kita mesti terlebih dahulu mempertimbangkan kerumitan sistem reformasi. Sebarang pembaharuan memerlukan masa terutamanya dalam sistem politik dan sosial.

 

Kerajaan perlu menyelesaikan karenah birokrasi, halangan perundangan dan kesukaran lain untuk mecapai matlamat. Ini bukan bermaksud bahawa orang ramai tidak sepatutnya mempersoalkan prestasi kerajaan, cuma jangkaan harus diturunkan ke tahap realistik.

 

Lagipun gerakan reformasi perlu mencari keseimbangan antara kepentingan dan sudut pandangan, ia bukan sesuatu yang mudah.

 

Satu lagi perkara penting ialah pembaharuan Kerajaan Perpaduan akan berdepan dengan tentangan daripada pelbagai puak politik yang berbeza. Ini juga merupakan faktor utama yang membawa kepada kemajuan yang perlahan dalam reformasi dan berdepan dengan jalan buntu dalam beberapa isu.

 

Keperluan berbeza puak berkepentingan ini, memerlukan masa untuk didamaikan. Jadi adalah mustahil untuk memperbaharui sistem politik seperti plot filem di mana semua pembaharuan boleh diselesaikan dalam sekelip mata selepas kerajaan bertukar dan segala-galanya boleh dilaksanakan segera dengan penuh semangat.

 

Kerajaan tidak boleh ambil remeh harapan rakyat

Dari perspektif lain, tuntutan rakyat terhadap kerajaan juga boleh ditafsirkan sebagai ketidakpuasan hati terhadap sistem politik. Segelintir orang akan beranggapan bahawa terdapat masalah dalam sistem politik negara, dan perlu reformasi berskala besar untuk benar-benar menghapuskan segala kepincangan dinasti terdahulu.


 

reformasi

 


Pemikiran sebegini menyebabkan sesetengah orang menyimpan harapan yang tinggi terhadap kerajaan baharu dan tidak sabar-sabar untuk melihat perubahan menyeluruh. Jadi, Kerajaan Perpaduan tidak boleh memandang ringan desakan rakyat kerana air yang tenang juga boleh membuat perahu terbalik.

 

Meskipun ada yang boleh menerima bahwa kerajaan perlukan masa terutamanya dalam berdepan dengan situasi politik semasa yang rumit hari ini, tetapi ini tidak boleh dijadikan sebagai alasan.

 

Ketidakpuasan hati rakyat juga mencerminkan kebimbangan terhadap prestasi kerajaan. Jadi kerajaan perlu lebih proaktif untuk menangani masalah bagi memenangi kepercayaan dan sokongan orang ramai.

 

Rakyat sokong Anwar kerana idea politiknya 

Anwar dan pasukannya harus jelas bahawa penyokong yang masih mengikuti mereka sejak 25 tahun lalu, bukan kerana sokong Anwar.


 

parafrasa

 


Sebaliknya idea politik yang didukung oleh Anwar adalah selari dengan tuntutan yang mereka kejar. Iaitu menghapuskan rasuah dan mewujudkan sebuah negara yang demokrasi, kedaulatan undang-undang, adil dan bersih.

 

Keputusan 2 PRK Sabtu lepas, masih berpihak kepada PH/Kerajaan Perpaduan. Ini bermakna isu TPM tidak memberi impak besar kepada PRK ini.

 

Dan perlu ditekankan juga, walaupun slogan ‘reformasi’ telah dicemuh oleh lawan politik, ‘kumpulan yang senyap’ mungkin tidak bersetuju kerana bagi mereka api reformasi belum terpadam dan hanya masuk ke peringkat ‘bara’, masih memberi harapan kepada Kerajaan Perpaduan untuk memastikan negara terus stabil daripada kegoyahan politik.

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 8 & 10 Sep, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.


 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

dagangnews

 

Portfolio Tags